Jawatankuasa Khas Bantahan Bukti Umno Telus - Razali

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Khas Bantahan bagi menerima aduan berbangkit berhubung pemilihan parti membuktikan bahawa Umno adalah parti yang telus, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata ketelusan itu lebih terserlah menerusi pelantikan Tan Sri Azmi Khalid sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan, bukannya Tan Sri Tajol Rosli Ghazali yang sudah mengetuai Jawatankuasa Pemilihan.

"Jelas kita tidak meletakkan individu yang sama kerana tidak mahu satu keputusan yang dicapai hanya dilakukan seorang sahaja. Parti lain mungkin dianggotai orang yang sama, tetapi tidak Umno. "Malah tindakan disiplin juga akan dibawa ke pengetahuan Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut, yang juga diketuai individu lain," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada sidang akhbar selepas menutup Konvensyen Generasi Felda 2013 di Dewan Perdana Felda pada Jumaat.

Konvensyen dua hari bertema 'Bersama Merealisasikan Transformasi' itu disertai kira-kira 1,300 orang terdiri daripada wakil peneroka, Majlis Belia Felda serta pegawai seranta bagi memberi maklumat sebenar hasrat kepimpinan negara berkaitan transformasi dari segenap aspek.

Pada Khamis, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bantahan ekoran pelbagai aduan berkaitan perjalanan pemilihan di peringkat bahagian, khususnya sayap parti pada bulan lepas.

Jawatankuasa itu akan melaporkan aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan yang diberi mandat oleh MT untuk membuat keputusan muktamad berhubung bantahan yang diterima.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memaklumkan sebanyak 172 bantahan diterima berkaitan pemilihan parti itu, termasuk isu disiplin. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan