Dewan Muslimat PAS Desak KDN Kaji Semula Penguatkuasaan Undang-Undang Keselamatan

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mumtaz Md Nawi
Mumtaz Md Nawi

SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS pada Khamis mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mengkaji semula mekanisme penguatkuasaan undang-undang keselamatan berikutan peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Penyandang Naib Ketua Dewan Muslimat, Mumtaz Md Nawi berkata, penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih tegas.

Menurutnya, ia juga perlu dikaji semula berpandukan asas-asas agama, nilai murni dan moral.

"Sebenarnya kita perlu kembali kepada undang-undang Islam untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jika kita bergantung kepada undang-undang konvensional semata-mata seperti yang dilaksanakan di negara-negara Barat maka kes jenayah tidak akan terhenti, " katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyokong usul mengenai keselamatan negara yang dibawa oleh perwakilan Dewan Muslimat PAS Bahagian Temerloh, Sarah Ahmad pada Khamis.

Menurut Mumtaz, Pakatan Rakyat dan Umno perlu bersatu untuk menyokong agar hukum hudud dilaksanakan di negara ini.

"14 negara telah melaksanakan hudud dan terbukti kes jenayah mereka lebih rendah daripada negara-negara yang mengamalkan undang-undang konvensional," katanya.

Usul tersebut turut mendapat sokongan daripada perwakilan Dewan Muslimat PAS Bahagian Maran, Akmal Yusof yang mahu isu keselamatan golongan wanita diberi penekanan utama.

"Wanita bekerjaya sering terdedah dengan pelbagai ancaman jenayah seperti rompak dan ragut. Oleh itu, kami menyokong agar sistem penguatkuasaan undang-undang keselamatan dikaji semula," katanya.

Sementara itu, perwakilan Dewan Muslimat PAS Bahagian Ampang, Aminah Hassan berkata kadar jenayah di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

"Kita lihat bukan saja isteri kehilangan suami tetapi anak kehilangan bapa mereka. Jenayah sudah sukar dikawal. Kita tidak boleh biarkan lagi perkara ini berlaku, " katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyokong sepenuhnya isu keselamatan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti bagi memastikan negara terus aman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan