Pembangunan di Cameron Highlands Ikut Peraturan - Exco

Diterbitkan: Khamis, 21 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pembangunan di Cameron Highlands dilaksanakan mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan pihak kerajaan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Beliau berkata agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar sentiasa memantau perkembangan di kawasan tanah tinggi itu dari segi pembangunan tanah dan sektor pertanian.

"Pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil kira aspek keseimbangan pembangunan tanah dan kegiatan ekonomi agar penduduk seramai 48,000 orang di situ tidak terjejas dari segi pendapatan dan kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu tindakan diambil terhadap pembukaan tanah secara besar-besaran di Cameron Highlands di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 di Wisma Seri Pahang di sini, Khamis.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sebanyak sembilan penjawat awam di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh Januari lepas hingga bulan ini.

Beliau berkata seorang daripada penjawat awam itu telah digantung kerja setelah pertuduhan dibuat dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Khas Rasuah.

"Empat orang penjawat awam telah ditahan kerja dan hanya dibayar 50 peratus daripada nilai emolumen sebenar yang diterima," katanya ketika menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PKR-Mentakab).

Katanya seorang penjawat awam masih bertugas seperti biasa namun hanya dibayar 50 peratus daripada nilai emolumen manakala dua lagi menjalankan perkhidmatan seperti biasa dan seorang lagi memilih menamatkan perkhidmatan semasa kes perbicaraan sedang berjalan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan