PLKN Ditransformasi Dengan Pendekatan Baharu - Hishammuddin

Diterbitkan: Rabu, 20 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkasakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kementerian Pertahanan akan mentransformasikan program itu menerusi beberapa pendekatan termasuk yang berteraskan penglibatan secara berterusan dan pemerkasaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendekatan lain seperti penilaian standard dan pengiktirafan dilihat boleh memperkukuh pencapaian objektif penubuhan PLKN.

"Penubuhan PLKN adalah untuk memupuk semangat kesukarelawan, cintakan negara dan perpaduan dalam diri pelatih seperti terkandung dalam Akta Latihan Khidmat Negara 2003.

"Saya ingin melihat pelatih PLKN terus menerus terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawan kepada masyarakat. Justeru, mereka perlu diberi pengiktirafan di atas usaha membantu masyarakat dalam program-program dianjurkan," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Untuk itu, katanya beliau telah berbincang mengenai usaha mentransformasikan PLKN dengan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil pagi Rabu.

Hishammuddin juga mahu jurulatih-jurulatih PLKN mempunyai kompetensi dan kepakaran yang tinggi bagi membantu meningkatkan pencapaian PLKN.

"Justeru, saya akan meneliti keperluan bagi mencapai matlamat itu," katanya.

Beliau turut meminta jurulatih PLKN meneruskan kerjasama dengan bekas pelatih melalui Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) khususnya dalam memperkenalkan idea dan pendekatan baharu untuk mencapai matlamat itu.

Menurutnya beliau mahu melihat penglibatan yang lebih holistik daripada semua pihak di dalam PLKN termasuk pengusaha-pengusaha kem PLKN, badan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat kesukarelawan, cintakan negara dan perpaduan dapat dicapai.

Hishammuddin berkata beliau akan menyertai pemimpin-pemimpin Alumni PLK Ndari seluruh negara pada Konvensyen Alumni PLKN di sini, esok.

"Saya berharap konvensyen itu dapat membantu membentuk hala tuju Alumni PLKN yang lebih progresif dan dinamik," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan