Peranan Muslimat Bukan Lagi Sekadar Pelengkap Perjuangan Parti

Diterbitkan: Rabu, 20 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Siti Zailah
Siti Zailah

SHAH ALAM: Peranan Muslimat dalam dunia penuh mencabar pada masa ini bukan sekadar bersifat sebagai penyeri atau pelengkap perjuangan PAS semata-mata.

Sebaliknya, Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, muslimat kini perlu memainkan peranan di posisi 'jantung' kepada perjuangan parti.

"Peranan Muslimat di posisi Jantung Gerakan Islam (PAS) adalah sangat penting, bukan sahaja sebagai individu penyeri atau pelengkap tetapi juga sebagai entiti penggerak utama memastikan kejayaan program-program merakyatkan perjuangan," katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan ucaptama di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini malam Rabu.

Menurut Siti Zailah, muslimat harus kembali kepada peranan asasnya sebagai pendidik pertama di dalam institusi keluarga.

Pada masa sama, beliau berkata muslimat tidak harus mengenepikan peranan mereka sebagai pemimpin di kalangan golongan wanita dalam konteks pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat serta bernegara.

Katanya, muslimat juga perlu menjadi contoh dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, juga bertindak sebagai agen perubahan ke arah masyarakat dan negara yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia.

"Dalam suasana masyarakat yang memerlukan ikon sebagai tanda aras, Muslimat yang terlibat dalam gerak kerja dakwah di setiap peringkat sebolehnya menjadi ikon dalam konteks masing-masing.

"Ini kerana akhlak yang ditunjukkan, keperibadian yang ditonjolkan, kebolehan yang dipamerkan dan pengorbanan yang diberikan, semuanya itu adalah pencetus kepada kesedaran sahabat-sahabat seperjuangan yang lain," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan