Malaysia Sedia Hadapi Banjir Pada Musim Tengkujuh

Diterbitkan: Rabu, 20 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pasukan Jabatan Pertahanan Awam menyiapkan kelengkapan dalam menghadapi banjir pad musim tengkujuh.
Pasukan Jabatan Pertahanan Awam menyiapkan kelengkapan dalam menghadapi banjir pad musim tengkujuh.

PETALING JAYA: Selepas Filipina dan Vietnam pulih daripada taufan Haiyan, Malaysia kini sedia menghadapi sebarang kemungkinan pada musim tengkujuh dan ribut yang sering melanda negara pada penghujung tahun.

Kira-kira 57,000 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, polis, tentera telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memindahkan 1.3 juta mangsa banjir di seluruh negara, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semua persiapan telah dikoordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Awam Pusat dan perkara ini turut dibincangkan di peringkat negeri," kata Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dalam satu kenyataan kepada The Star.

Jabatan Meterologi turut menasihat lima negeri bersiap sedia kerana akan menerima taburan hujan lebat ketika musim monsoon timur laut, kerana ia boleh mengakibatkan banjir terutamanya di kawasan lembangan sungai.

Lima negeri tersebut ialah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Jabatan berkenaan berkata kawasan selatan Johor juga dijangka turut terjejas.

Thajudeen berkata sebanyak 1,910 lori, 2,097 kenderaan pacuan empat roda, 2,051 bot, 152 jetski serta 26 helikopter telah disediakan dalam menghadapi banjir.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan telah menubuhkan 1,472 pasukan perubatan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat bersiap sedia untuk membuka 4,969 bilik gerakan yang boleh menempatkan 1.3 juta orang.

"Kami turut mengalu-alukan sebarang bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan seperti peralatan kecemasan, makanan, bantuan kewangan serta sukarelawan," kata Thajudeen sambil menambah kumpulan yang berminat boleh menghubungi pusat operasi bencana negeri masing-masing.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Meterologi berkata negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami empat hingga lima kali taburan hujan lebat yang mungkin berterusan untuk tempoh tiga hingga tujuh hari.

"Kejadian seperti ini boleh menyebabkan banjir di negeri pantai timur dan wilayah selatan semenanjung bermula bulan ini hingga Januari.

Musim monson di Malaysia bermula 1 November dan dijangka berakhir pada minggu ketiga bulan Mac tahun hadapan.

Episod pertama hujan lebat dijangka bermula pada bila-bila masa ketika ini.

"Di utara semenanjung juga kita dapat melihat peningkatan taburan hujan disebabkan pergerakan angin yang sederhana pada awal musim monson. Sebaliknya, di kawasan selatan dan timur Pahang serta Johor mungkin mengalami hujan di bawah paras normal bulan ini.

"Taburan hujan juga dijangka bertambah di kawasan Sabah seperti di Kudat Pantai Barat dan Pedalaman pada bulan ini," kata jabatan berkenaan.

Mengenai kesan taufan Haiyan terhadap cuaca tempatan, jabatan berkenaan berkata ada kemungkinan ribut tropika yang melanda negara berhampiran Malaysia boleh menjejaskan cuaca di negara ini, terutamanya kawasan berhampiran pantai.

Walaupun jabatan berkenaan menjangkakan musim monson kali ini dijangka normal, namun setiap kejadian hujan lebat boleh menyebabkan banjir.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cuaca dan keadaan laut serta amaran banjir dengan melayari laman web www.met.gov.my, portalbencana.mkn.gov.my / Portal / atau publicinfobanjir.water.gov.my /

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan