Daim Gesa Mansuh Permit Import Kereta

Diterbitkan: Rabu, 20 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mencadangkan kerajaan menimbang untuk memansuhkan Permit Import (AP), dasar yang diperlukan untuk mengimport kenderaan, bagi membantu mengurangkan kos memiliki kereta di Malaysia.

"Memansuhkan AP bermakna harga kereta yang lebih murah untuk rakyat," katanya di sini Rabu.

Daim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, Roland S. Folger yang berkata langkah itu jika dilaksanakan akan menjadikan harga kereta lebih murah, dan menggalakkan pengeluar kereta untuk meningkatkan pelaburan bagi mengeluarkan kereta yang lebih murah di pasaran tempatan.

"Bagi saya, ada satu cara kita dapat mengurangkan harga kereta. Ia merupakan penyelesaian yang mudah terhadap isu ini (iaitu) memansuhkan AP terbuka," kata Folger kepada akhbar The Sun baru-baru ini.

Daim berkata kerajaan perlu mengambil langkah positif dalam Dasar Automotif Negara (NAP), yang akan disemak semula tidak lama lagi, supaya menimbang kepentingan segman penduduk yang lebih besar, dan bukannya beberapa orang terpilih sahaja.

Laporan menyebut bahawa terdapat 98 syarikat memegang AP terbuka bagi mengimport kereta ke dalam negara.

Penganalisis industri sering membincangkan kaedah untuk menjadikan industri automotif tempatan lebih berdaya saing, menggalakkan pelaburan yang lebih besar dan melabur semula, dan supaya kereta lebih mampu dimiliki dalam pasaran tempatan.

Folger juga menekankan hakikat bahawa pemansuhan AP terbuka tidak akan menjejaskan kutipan hasil kerajaan, malah dapat meningkatkan kutipan.

Penganalisis industri mengatakan bahawa kerajaan boleh menghapuskan barisan tambahan dalam perniagaan dan melepaskan kos penjimatan itu kepada rakyat memandangkan AP terbuka mengenakan beberapa ribu ringgit untuk setiap transaksi yang diproses.

Penjimatan kos boleh digunakan oleh kerajaan untuk merangsangkan lagi industri itu atau menyalurkannya untuk perbelanjaan yang lebih produktif, kata mereka.

Penganalisis terbabit mencadangkan kerajaan mengeluarkan tender AP Terbuka untuk mendapatkan lebih banyak hasil kerajaan yang seterusnya boleh mengurangkan cukai untuk pembeli kereta, dan sekali gus menjadikan harga kereta lebih murah.

AP Terbuka biasanya digunakan oleh pengimport yang sama untuk mengimport semula kereta mewah recond dan dijual pada harga yang lebih rendah berbanding kereta yang dipasang dalam negara.

Sebagai contoh semakan di Internet menunjukkan Mercedes-Benz E200 baharu dijual pada harga kira-kira 35,000 pound sterling (kira-kira RM179,000) di Britain berbanding RM366,000 untuk model yang sama yang dipasang di Malaysia.

Kereta Mercedes-Benz E200 terpakai di Britain akan menjadi kira-kira 10,000 pound lebih murah atau kira-kira RM51,000, bergantung kepada tahun pembuatan dan perbatuan.

Pengimport 'tidak rasmi' atau pemegang AP terbuka boleh mengambil kesempatan ke atas perbezaan harga yang lebih tinggi di Malaysia untuk menjual semula E200 recond daripada antara RM270,000 dan RM290,000 setiap satu, walaupun selepas membayar cukai.

Diskaun ini sering dilihat sebagai 'menguntungkan' pengguna atas perbelanjaan pengilang yang telah menanggung kos tambahan seperti perolehan tempatan, kos pemasangan, penjenamaan dan promosi, jualan dan perkhidmatan selepas jualan.

Pemansuhan AP terbuka juga akan menghapuskan Malaysia sebagai antara destinasi utama kereta terpakai mewah di dunia, kata penganalisis itu.

Mereka menegaskan supaya kerajaan perlu mengkaji semula keseluruhan struktur industri automotif, termasuk segmen rejim cukai dan tempoh akhir hayat kereta, bagi memastikan ia boleh bergerak ke depan memandangkan pembuat kereta nasional sudah wujud hampir 20 hingga 30 tahun dengan Proton Saga pertama dilancarkan pada Julai 1985 dan Perodua Kancil muncul pada Ogos 1994.

NAP diperkenal pada 22 Mac, 2006 dan disemak semula pada 2009 dan 2012 bertujuan menggalakkan daya saing dan berdaya maju dalam sektor automotif tempatan, khususnya pengeluar kereta nasional.

Ia juga bertujuan mempromosi Malaysia sebagai hab automotif serantau, dengan mengintegrasikan industri automotif tempatan ke dalam industri serantau dan rangkaian global dalam persekitaran yang semakin liberal dan berdaya saing.

Penganalisis juga menyatakan bahawa menyediakan persaingan yang lebih tinggi akan menghapuskan rasa puas hati dalam kalangan pengeluar kereta dan pembekal Mereka juga berharap NAP yang akan dikaji semula itu dapat melihat gambaran yang lebih luas dan membantu memulihkan industri automotif tempatan supaya menjadi sumber pendapatan negara menerusi pertukaran mata wang asing. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan