PM Bangladesh Nafi Rakyatnya Terbabit Dalam PRU-13

Diterbitkan: Selasa, 19 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) berkata sesuatu kepada Presiden Bangladesh, Md Abdul Hamid sewaktu mengadakan kunjungan hormat ke atas presiden itu di Istana Presiden (Bangabhaban) di Dhaka. - fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) berkata sesuatu kepada Presiden Bangladesh, Md Abdul Hamid sewaktu mengadakan kunjungan hormat ke atas presiden itu di Istana Presiden (Bangabhaban) di Dhaka. - fotoBERNAMA

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina menafikan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan pembangkang kononnya 40,000 warga Bangladesh mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam pertemuannya dengan Sheikh Hasina, pemimpin kerajaan negara Asia Selatan itu turut menggeleng kepala tanda tidak percaya dengan dakwaan kononnya rakyatnya terbabit dalam pengundian pada PRU-13.

Najib berkata jika kononnya lawatan beliau ke Bangladesh dengan misi hendak berjumpa dan berterima kasih kepada pengundi Bangladesh yang telah mengundi BN dalam PRU lepas, ternyata misi beliau gagal kerana beliau tidak berjumpa dengan seorang pun daripada pengundi yang didakwa itu.

"Nampaknya misi yang kedua ini gagal kerana saya tidak dapat jumpa 40,000 orang Bangladesh yang dikatakan telah mengundi Barisan Nasional," katanya secara sinis dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Dua Hala dengan kerajaan Bangladesh di sini.

Kata Najib perdana menteri Bangladesh turut mempersoalkan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai mustahil kerana untuk mengundi di Malaysia, seseorang warga Bangladesh perlu menukar kerakyatan mereka kepada warganegara Malaysia.

"Dia kata memang tidak ada (tidak wujud) tindakan untuk kita (kerajaan Malaysia) memberi 40,000 kewarganegaraan pada orang Bangladesh," kata Najib.

Pada PRU-13, pakatan pembangkang mendakwa BN menggunakan 40,000 rakyat Bangladesh untuk mengundi parti gabungan berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan 2014 peringkat dasar di Dewan Rakyat menyelar dakwaan tersebut dan mendedahkan bahawa dalam tempoh 10 tahun yang lepas, hanya 12 orang Bangladesh yang telah mendapat kerakyatan dan menjadi warganegara Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan