PAS Desak DBKL Perjelas Projek 'Sakit' Taman Dusun Bandar

Diterbitkan: Selasa, 19 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pokok rambutan yang ditanam rapat-rapat dan tumbuh secara tidak sihat di Taman Dusun Bandar menjadi tanda-tanya adakah kawasan ini sudah sedia dibuka kepada orang ramai.
Pokok rambutan yang ditanam rapat-rapat dan tumbuh secara tidak sihat di Taman Dusun Bandar menjadi tanda-tanya adakah kawasan ini sudah sedia dibuka kepada orang ramai.

KUALA LUMPUR: Tidak puas hati dengan pelaksanaan projek Taman Dusun Bandar, Dewan Pemuda PAS pada Isnin mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan terperinci mengenai projek berkenaan yang didakwa 'sakit' dan mempunyai banyak isu.

Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad berkata banyak perkara yang perlu dijelaskan DBKL mengenai projek berkenaan terutama dari segi kos dan penganugerahan projek yang diberikan secara rundingan terus kepada syarikat kontraktor tidak berpengalaman.

"Mengapa kontrak bernilai RM17.25 juta itu diberikan secara rundingan terus kepada Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd (ZASB) sedangkan berdasarkan rekod dan profil syarikat, ia tidak mempunyai kredibiliti untuk mendapat kontrak tersebut.

"Hanya 18 peratus sahaja daripada projek kendalian ZASB melibatkan taman rekreasi, itu pun hanya terhad kepada kerja menanam dan memotong rumput di kawasan rizab jalan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, di sini, Isnin.

Kamaruzaman berkata DBKL harus bertanggungjawab terhadap projek ini yang didakwa 'cacat' dan mempunyai banyak isu berbangkit kerana ia melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai khususnya di Wilayah Persekutuan.

Katanya, projek di atas tanah berkeluasan 19 ekar itu turut menimbulkan keraguan apabila ia sepatutnya siap pada 31 Oktober 2009, tetapi hanya disiapkan pada 30 April 2010.

"Lewat 181 hari dan melalui apa yang dilihat selepas mengadakan lawatan ke sana pada Ahad lalu, kami dapati ia sebenarnya masih belum siap sepenuhnya.

"Nama sahaja dusun bandar tetapi pokok-pokok buah-buahan seperti rambutan, dokong dan sebagainya amat menyedihkan. Ada pokok yang sudah mati dan ada yang seperti hidup segan mati tak mahu.

"Dengan keadaan dan status seperti itu ia tidak wajar dirasmikan malah memalukan jika 'dusun' sebegitu dibawa ke bandar," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa DBKL memberi penjelasan mengenai bangunan dan kemudahan dalam kawasan dusun yang didakwa rosak sebelum digunakan.

Katanya, dua bangunan utamanya masih lagi kosong tetapi sudah menunjukkan kecacatan.

Beliau turut mempertikaikan tentang penanaman pokok dan penyediaan landskap yang didakwa tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Pejabat pentadbiran baru sepatutnya dibina dengan peruntukan RM116,100 tapi kontraktor hanya mengubahsuai bangunan lama dengan kos lebih tinggi, RM290,000.

"Peruntukan RM194,200 diberikan untuk enam komponen taman permainan tetapi hanya satu komponen yang dibekalkan juga dengan kos lebih tinggi iaitu RM230,000," dakwanya.

Kamaruzaman juga berkata pihaknya akan melakukan siasatan terperinci mengenai kontraktor yang dilantik itu.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan DBKL berhubung perkara ini.

"Seolah-olah ada sesuatu yang istimewa di antara pihak yang menganugerahkan projek ini dan yang menerimanya...kami masih menyiasat," katanya.

Ditanya sama ada kawasan tersebut telah sedia dibuka kepada orang awam dan pelancong, beliau berkata: Sudah sedia dibuka, tapi bukan sebagai sebuah dusun, setakat kawasan untuk berjoging sahaja.

Projek Taman Dusun Bandar atau Projek Pembangunan Taman Bandar (City Orchard Park) di Kampung Delima, Jalan Bellamy merupakan projek DBKL sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

Ia berkonsepkan taman dusun buah di tengah bandar raya Kuala Lumpur dilengkapi kemudahan rekreasi, landskap dan bangunan.

Projek ini sepatutnya siap pada 19 Ogos 2009 tetapi ia hanya dibuka kepada orang ramai pada 1 September lalu dengan kemudahan yang didakwa tidak sempurna dan tidak seperti yang dirancang dan digembar-gemburkan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan