Pelaksanaan Hudud: PAS Perlu Dapatkan Persetujuan PKR Terlebih Dahulu - Annuar Musa

Diterbitkan: Isnin, 18 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mempertimbangkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan sekiranya PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) benar-benar bersetuju mengenainya terlebih dahulu, kata Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh).

Annuar yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh berkata PKR mesti menunjukkan mereka benar-benar bersetuju dengan cadangan PAS dalam melaksanakan hukum hudud.

"Adalah sangat pelik jika PAS perlu bertanya kepada BN, yang merupakan seteru politik mereka, untuk menyokong hudud sementara rakan sekutu mereka (PKR) tidak bersetuju dengannya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Annuar berkata kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS perlu memastikan semua pihak termasuk PKR, Dewan Undangan Negeri dan agensi pelaksana di negeri itu bersetuju untuk melaksanakan hukum hudud.

Pada ketika ini, tiada wakil rakyat DAP di Kelantan.

"Sekiranya pelaksanaan hukum hudud di Kelantan perlu di bawa ke Parlimen, justeru prinsip yang sama digunapakai dengan semua pihak mesti bersetuju dengannya.

"PKR perlu bersedia menyokong pelaksanaannya apabila perkara ini di bawa ke Parlimen.

"Selepas itu barulah BN boleh mempertimbangkan langkah tersebut, berdasarkan kesedian parti yang mencadangkan pelaksanaan undang-undang hudud," katanya.

Terdahulu, Datuk Mahfuz Omar (PAS - Pokok Sena) mencadangkan agar Annuar membantu menyakinkan kerajaan Persekutuan untuk membenarkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Naib Presiden PAS itu berkata parti berkenaan masih berbincang sama ada mahu memfailkan usul untuk membahaskan mengenai undang-undang hudud di Parlimen.

Sebelum dilaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Parlimen berkata, beliau bersedia menyokong usul pelaksanaan hukum hudud dibahaskan di Parlimen.

Bagaiamanapun, beliau berkata sama ada usul berkenaan akan diluluskan bergantung kepada sekutu PAS dalam pakatan pembangkang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan