Kerajaan Kedah Akan Perkasa Kedah Invest - Mukhriz

Diterbitkan: Isnin, 18 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan memperkasakan agensi penggalakan pelaburan negeri, Kedah Invest, dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya kerajaan negeri akan memberikan perhatian kepada aktiviti penggalakan dan pembangunan pelaburan swasta, sama ada pelabur tempatan atau pun asing.

"(Untuk tahun ini) pelaburan swasta hingga Oktober sudah lebih RM500 juta. Sebenarnya angka ini kecil berbanding pelaburan yang masuk ke seluruh negara.

"Saya belum berpuas hati. Kita akan memperkasakan Kedah Invest untuk lebihkan aktiviti promosi dan galakkan pelaburan, khususnya dalam sektor yang boleh memberi pendapatan tinggi dan gunakan kelebihan yang sedia ada di Kedah seperti pertanian," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini Isnin.

Mukhriz berkata beliau mengambil pendekatan menumpukan bidang yang Kedah memiliki kelebihan seperti pertanian supaya dapat dibantu untuk meningkatkan hasilnya.

"Takkan (bidang) yang kita dah ada kelebihan nak diketepikan dan tumpu bidang baharu," katanya.

Katanya beliau juga mahu melihat aktiviti ekonomi yang memberikan produktiviti tinggi seperti industri dan teknologi tinggi, diusahakan sebaik mungkin.

"Di Bukit Kayu Hitam, kita akan wujudkan taman industri, seboleh-bolehnya Taman Sains. Kita mahu tarik pelaburan bernilai tinggi ke Kedah utara, bukan hanya pekerjaan pendapatan tinggi malah limpahan ekonomi setempat juga jadi matlamat kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan