Elaun Adun Kedah Dinaikkan RM1,300 Sebulan Mulai Disember

Diterbitkan: Isnin, 18 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Kedah akan dinaikkan sebanyak RM1,300 sebulan mulai Disember, menjadikan elaun keseluruhan Adun di negeri ini sebanyak RM6,961.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kenaikan elaun itu dibuat setelah meneliti dan mempertimbangkan cadangan yang dibangkitkan Adun pada sidang DUN sebelum ini.

"Saya berharap dengan kenaikan elaun ini, Adun di Kedah akan dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanah dengan lebih baik," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata bagi memastikan Bajet 2014 ini benar dan realistik, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak menyertakan cadangan caj penjualan air mentah kepada Pulau Pinang dan Perlis seperti yang dibuat kerajaan terdahulu tanpa persetujuan kerajaan negeri berjiran itu.

Beliau turut menyentuh mengenai isu penghijrahan Syarikat Air Darul Aman (Sada) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), yang hanya akan dibuat selepas persetujuan dicapai antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengenai pembiayaan projek bekalan air luar bandar yang hendak ditukarkan daripada bentuk pinjaman kepada geran. Mukhriz berkata perkara itu harus dilihat dalam skop yang lebih luas berhubung isu berkaitan kawasan tadahan menjadi sumber bekalan air mentah kepada negeri jiran seperti Pulau Pinang dan Perlis.

"Sebagai negeri yang menjadi pembekal kepada sumber makanan negara, Kedah sepatutnya mendapat pampasan disebabkan terpaksa mengorbankan kawasan hutan yang luas sebagai kawasan tadahan untuk sumber bekalan air bagi tujuan pengairan dan bekalan air minuman kepada negeri jiran," katanya.

Beliau turut menyentuh isu yang telah menjadi sejarah iaitu bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM10,000 setahun yang patut dikaji semula kerana kadar ini pada asalnya adalah sebanyak 10,000 Spanish Crown dan jika dinilai dengan kadar semasa, jumlah ini akan meningkat ke satu jumlah yang jauh lebih besar.

"Kita percaya, perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan pertimbangan kerajaan persekutuan," katanya.

Beliau berkata walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia daripada 70 peratus pada 1971 hingga kurang tiga peratus kini, hakikatnya masih lagi wujud keluarga yang tidak mempunyai rumah yang sempurna dan tidak mampu menyara kehidupan kerana tidak ada sumber pendapatan mapan.

"Negeri Kedah masih mempunyai 23,000 isi rumah yang dikategorikan miskin. Sehubungan itu kerajaan negeri akan berusaha dengan segala kudrat yang ada dan dengan iltizam yang kental untuk membasmi kemiskinan secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Sementara itu, Mukhriz menyeru Adun daripada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang di Kedah menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan kematangan politik.

"Perkembangan politik negara semakin celaru dan tidak menguntungkan rakyat. Walaupun kita berbeza, perbezaan itu tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga kita bermusuhan. Alangkah baiknya jika pihak BN dan Pakatan Rakyat Kedah dapat menongkah arus dengan memulakan persepaduan demi kepentingan negeri yang kita sayangi ini," katanya.

Persidangan DUN bersambung esok. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan