Najib Adakan Lawatan Sulung Ke Bangladesh 17-19 November

Diterbitkan: Ahad, 17 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DHAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad memulakan lawatan rasmi sulung ke Dhaka sehingga 19 November, bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

Lawatan pertama Najib selaku Perdana Menteri ke Bangladesh adalah atas undangan rakan sejawatnya, Sheikh Hasina, ketika kedua-duanya mengadakan pertemuan di New York baru-baru ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sheikh Hasina bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Norlin Othman berkata kunjungan Najib amat bermakna kerana selain daripada hubungan ekonomi dan politik yang sudah lama terjalin, Malaysia adalah antara negara yang paling awal mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh pada 1971.

Beliau berkata Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan delegasi 62 orang termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Khas Malaysia di Asia Selatan, Tan Sri S Samy Vellu.

Pada hari kedua, katanya Perdana Menteri dijadual merasmikan Hospital Pakar Peringatan dan Kolej Kejururawatan Sheikh Fazilatunnesa Mujib di Gazipur yang dibina oleh yayasan milik keluarga Sheikh Hasina. Hospital itu akan dikendalikan oleh syarikat penjagaan kesihatan Malaysia, KPJ Healthcare Bhd.

"Perdana Menteri dan Sheikh Hasina pada majlis itu akan turut menyaksikan majlis penyerahan operasi hospital itu kepada KPJ Healthcare," kata Norlin pada sidang akhbar di sini.

Norlin berkata, Perdana Menteri akan turut melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Bangladesh, Md Abdul Hamid, dan kedua-dua pemimpin difahamkan akan membincangkan beberapa perkara termasuk isu rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia.

Pada masa ini, terdapat lebih 320,000 rakyat Bangladesh yang bekerja secara sah dalam pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia, jelas beliau.

Sejak 2010, rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia menghantar wang pulang sebanyak RM3 bilion, jumlah tertinggi berbanding pekerja Indonesia (RM2.9 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625 juta) dan Filipina RM561 juta.

Sementara itu, Rosmah pula akan mengadakan atur cara berasingan termasuk merasmikan sambutan ulang tahun ke-8 Projek Lelangit dan Bibir Sumbing iaitu projek usahasama antara Hospital Komuniti Dhaka dan Mercy Malaysia.

Projek berkenaan mendapat perhatian Program Permata Negara yang telah menyumbang RM103,000 pada bulan lepas kepada Mercy Malaysia.

Sepanjang berada di sini, Najib turut dijadualkan melawat tugu peringatan pejuang-pejuang kemerdekaan Bangladesh di Savar dan Muzium Peringatan Bangabandhu.

Perdana Menteri dijangka pulang ke tanah air pada pagi Selasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan