Muhyiddin Saran Kesemua Aktiviti Kementerian Pendidikan Dipertingkat

Diterbitkan: Sabtu, 16 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu menyarankan supaya kesemua aktiviti Kementerian Pendidikan dipertingkatkan bagi memperluas pelaksanaan budaya pembelajaran sepanjang hayat secara optimum.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu perlu dijalankan menerusi perkongsian sumber sama ada dari perspektif kewangan, tenaga ataupun infrastruktur.

"Dengan perkongsian sumber secara bijaksana dan berhemah, kita dapat memaksimumkan keberhasilan sekaligus meminimumkan kos pelaksanaan (pembelajaran sepanjang hayat)," katanya ketika berucap menutup Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (My3L) peringkat nasional 2013 di sini, Sabtu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata menerusi strategi Lautan Biru yang memfokuskan kepada inovasi, kreativiti dan produktiviti, kementerian berupaya menjana idea dan merencana pendekatan baharu untuk meneroka peluang-peluang melangkaui pemikiran bagi memperluaskan pelaksanaan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat secara berkesan.

Beliau berkata untuk itu, usahasama dan kolaborasi antara kementerian, agensi kerajaan dan swasta perlu diperkayakan menerusi pelbagai program dan aktiviti termasuk program tanggungjawab sosial korporat dan perkhidmatan kesukarelawanan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata bagi melengkapkan pendidikan formal, pada tahun 2020, kerajaan mensasarkan peningkatan penyertaan pembelajaran sepanjang hayat sehingga 50 peratus daripada jumlah penduduk.

"Ini kerana sistem pendidikan formal sedia ada tidak dapat menampung pengeluaran tenaga kerja mahir yang amat diperlukan oleh negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi," katanya sambil menambah kadar penyertaan pembelajaran sepanjang hayat peringkat nasional pada 2010 adalah 10 peratus.

Katanya program pembelajaran berkenaan dinobatkan sebagai tonggak ketiga dalam sistem pembangunan sumber manusia di negara ini seiring dengan sistem persekolahan dan pendidikan tertiari.

"Ia mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat khususnya para pekerja yang juga penyumbang kritikal kepada produktiviti dan pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 15 kementerian memberi sokongan padu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat di samping 32 buah politeknik dan 86 buah kolej komuniti yang menawarkan pelbagai program dan aktiviti.

Muhyiddin berkata jumlah kumulatif penyertaan kursus pendek di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti sejak penubuhannya sehingga tahun lepas mencecah lebih sejuta peserta.

Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk mengenal pasti pembelajaran warga bandar raya yang mengalami pertumbuhan mendadak sebab 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia akan bermastautin di bandar raya berdasarkan unjuran yang dibuat pada 2030.

Karnival My3L tiga hari bermula semalam itu bertujuan menyebarluaskan maklumat pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat di samping mencetus idea ke arah meningkatkan kualiti hidup menerusi pembelajaran itu.

Terdahulu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Pengajian Kolej Komuniti dengan empat rakan pintar Kementerian Pendidikan termasuk syarikat MMC-Gamuda dan Huawei antara lain untuk membangunkan bidang pendidikan dan program latihan yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak.

Beliau juga melancarkan direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat secara dalam talian pada majlis itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan