Sultan Selangor Arah Henti Guna Kalimah Allah Dalam Bible, The Herald Versi Bahasa Melayu

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah di dalam 'Bible' dan penerbitan 'The Herald' versi Bahasa Melayu dihentikan serta merta.

Baginda bertitah ia bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di Selangor khususnya dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.

Sehubungan itu, baginda meminta rakyat Selangor supaya menghormati dan mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta undang-undang berhubung penggunaan kalimah Allah.

"Ini kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu (Esa) seperti yang terdapat di dalam Surah Al-Ikhlas," titah baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais di sini.

Sultan Selangor, setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor yang bersidang pada 11 Nov lepas, telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat negeri itu tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Ia seperti yang diperuntukkan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang diwartakan pada 1988.

Sultan Selangor turut bertitah menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan isu kalimah Allah sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ialah satu kalimah suci dan membabitkan akidah umat Islam.

Baginda juga bertitah menggesa umat Islam merapatkan barisan dan bersatu padu mempertahan kesucian kalimah Allah serta menghalang usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab menyalahguna dan menghina kalimah Allah.

"Isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini," titah baginda.

Baginda turut berdoa supaya perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini sentiasa terpelihara dan mereka dapat hidup dengan aman damai, menghormati antara satu sama lain dan saling bertolak ansur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan