Persaingan Sengit Bagi Jawatan Ketua Pemuda, Wanita MIC

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kurang 24 jam, 560 perwakilan masing-masing dari sayap Pemuda dan Wanita MIC akan menghadiri pemilihan parti untuk memilih pemimpin peringkat kebangsaan masing-masing untuk mewakili mereka bagi penggal tiga tahun akan datang.

Sejak pencalonan pada 8 November, dua calon bagi jawatan Ketua Pemuda - Timbalan Ketua Pemuda ketika ini V. Mugilan dan Setiausaha C. Sivarraajh telah mendapat sokongan akar umbi daripada beberapa negeri, menerusi kempen yang boleh dikatakan berlangsung secara aman dan sihat.

Sepanjang tempoh berkempen, kedua-dua calon turut memanfaatkan media sosial, termasuk Facebook dan Twitter, sebagai wadah untuk mempromosikan visi dan misi mereka menerusi manifesto masing-masing.

Manifesto Mugilan bertema 'Undi Untuk Perubahan' menggariskan 10 aspek, menumpukan kepada pendidikan, pembangunan sosio-ekonomi dan pembangunan belia di dalam dan luar parti.

Menegaskan perlunya bagi pertumbuhan inklusif untuk pembangunan belia, Mugilan berkata: "Cabaran sebenar terletak pada usaha untuk mewujudkan, bukan sahaja lebih banyak peluang kerja tetapi juga menggalakkan undang-undang kondusif yang akan mempermudah keusahawanan.

"Adalah penting untuk mewujudkan pekerjaan untuk golongan belia."

Menurut statistik Kementerian Belia dan Sukan, terdapat 12.9 juta belia di negara ini. Daripada jumlah itu, belia kaum India adalah kira-kira 663,700.

"Belia India merupakan sumber terbaik dan jumlah mereka banyak. Yang terbaik dalam kalangan mereka perlu diketengahkan.

"Saya berjanji untuk membawa perubahan positif untuk memimpin hampir 400,000 anggota Pemuda MIC ke arah tuju yang betul," kata Mugilan kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini, Jumaat.

Lagipun, tegasnya golongan belia perlu digalakkan untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal dasar negara, dan menurutnya majlis-majlis penasihat belia perlu ditubuhkan, antara lain untuk menangani masalah pengangguran, jenayah, gangsterisme dan masalah berkaitan pinjaman.

Manifesto Mugilan turut menggariskan cadangan mewujudkan perpustakaan untuk anggota Pemuda di ibu pejabat MIC pusat, skim insurans untuk ketua dan timbalan ketua Pemuda bahagian dan juga perwakilan. Katanya sekiranya beliau dipilih Ketua Pemuda, beliau akan memperuntukkan minimum RM1,000 untuk bahagian-bahagian Pemuda MIC dan juga menubuhkan Kelab Usahawan Muda. Sementara itu, Sivarraajh, dalam manifesto beliau, menggariskan 16 aspek untuk memastikan kelancaran program pemerkasaan sosio-ekonomi belia India di negara ini.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak itu berkata manifesto beliau, antara lain, fokus kepada usaha untuk meningkatkan status perniagaan usahawan, penyertaan dalam jawatan kerajaan dan pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pemuda MIC.

"Agenda ini telah dikaji dan dirancang dengan teliti, dan saya secara peribadi akan memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya untuk mentransformasi kepimpinan Pemuda untuk menjadi berjaya dan berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

Pemilihan esok juga akan menyaksikan persaingan antara Setiausaha Wanita MIC kebangsaan M. Vickneswari dan Mohana Muniandy, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti bagi jawatan Ketua Wanita.

Mohana berhasrat mewujudkan kumpulan pemikir untuk mendraf pelan pembangunan untuk wanita India di negara ini.

Katanya kumpulan pemikir itu, yang akan terdiri daripada wanita dari badan korporat, kerajaan, perniagaan dan parti politik, akan menangani isu-isu mendesak yang dihadapi wanita India untuk membolehkan mereka sedar akan potensi sebenar mereka.

Vickneswari, pula berkata dengan pengalaman selama 17 tahun dalam parti, beliau mempunyai kekuatan dan kewibawaan untuk memperkasa wanita India daripada semua peringkat sosio-ekonomi.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memperkasa wanita muda generasi akan datang, dan saya memandang serius komitmen ini," katanya.

Pemilihan itu juga akan menyaksikan sayap Wanita dan Pemuda memilih dua wakil masing-masing bagi CWC, 12 anggota majlis kebangsaan dan 35 perwakilan ke Perhimpunan Agung MIC dijadual 30 November, di Melaka. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan