Pemilihan Semula AJK Wanita Umno Kalabakan Bercanggah Perlembagaan Parti - Hamisa

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mesyuarat khas pemilihan Wanita Umno Kalabakan yang dijadualkan esok bagi mengisi 14 kekosongan anggota jawatankuasanya (AJK) bercanggah dengan peraturan parti.

Ini kerana kata bekas Ketua Wanita bahagian itu Datuk Hamisa Samat, menurut Fasal 15.8 Perlembagaan Umno dan Fasal 5.7 Peraturan Pergerakan Wanita Umno, pemilihan mesti melibatkan semua jawatan dalam jawatankuasa tersebut.

"Pemilihan semula juga seharusnya dikendalikan oleh badan bebas iaitu badan perhubungan negeri bukannya Umno Bahagian Kalabakan," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, Jumaat.

Fasal 15.8 Perlembagaan Umno memperuntukkan jika semua AJK bahagian berhenti serentak maka Majlis Tertinggi (MT) akan mengadakan perwakilan khas bahagian untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya.

Fasal 5.7 Peraturan Pergerakan Wanita Umno pula memperuntukkan jika dua pertiga atau lebih AJK berhenti maka jawatankuasa dianggap bubar dan MT boleh mengadakan perhimpunan agung khas bagi menubuhkan semula jawatankuasa itu. Baru-baru ini, Ketua Umno Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh dilapor berkata pemilihan semula AJK Umno Wanita Kalabakan akan diadakan pada 16 Nov bagi mengisi 14 kekosongan susulan peletakan jawatan oleh penyandang tiga hari selepas mereka memenangi pemilihan pada 12 Oktober lepas.

Abdul Ghapur turut dilapor berkata 14 AJK terbabit tidak dibenar bertanding semula bagi mencegah perkara sama berulang.

Mengulas lanjut, Hamisa berkata arahan untuk mengadakan semula pemilihan itu seharusnya dikeluarkan oleh jawatankuasa pemilihan parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, bukan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau juga berkata arahan melarang 14 bekas AJK terbabit bertanding semula dibuat tanpa satu pendengaran dan peluang membela diri oleh mereka yang berkenaan.

Semalam, Abdul Ghapur dilapor berkata Umno Kalabakan akan mengemukakan surat kepada 14 anggota terbabit bagi menghadapi jawatankuasa disiplin parti.

Wanita Umno Kalabakan menjadi tumpuan apabila 14 AJKnya meletak jawatan beberapa hari selepas pemilihan atas alasan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan tersebut.

Dalam pemilihan itu, Hamisa tewas kepada Naib Ketuanya Cahaya Sulaiman. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan