Ahmad Shabery Beri Keterangan Bayaran Artis K-Pop Kepada PAC Khamis Depan

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Khamis depan, berhubung isu bayaran RM1.6 juta untuk persembahan artis K-Pop dalam acara Hari Belia Negara, tahun lalu.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan di dalam satu kenyataan berkata Ahmad Shabery, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan akan hadir bersama semua pegawai kementerian yang terbabit dalam program berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad Shabery telah memohon kepada Parlimen untuk membenarkan prosiding penjelasannya kepada PAC dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, kementerian itu membelanjakan RM2.94 juta untuk Hari Belia Negara 2012, termasuk RM1.6 juta untuk bayaran artis K-Pop dari Korea sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Nur Jazlan berkata PAC akan memulakan prosiding pada Rabu depan dengan memanggil Kementerian Pengangkutan bagi memberi penjelasan mengenai isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

"PAC kemudian akan mendengar penjelasan daripada Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berhubung kutipan hasil kepada kerajaan," katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata LHDN dan KDRM akan memberikan keterangan pada 26 November kerana PAC berpendapat bahawa kutipan hasil yang cekap juga amat penting dalam menjamin kewangan negara sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

"Pada masa sama, dengan pelaksanaan sistem cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 2015, PAC mahu dengar persediaan dua agensi ini kerana peranan mereka amat penting dalam memastikan hasil negara dikutip dengan sebaiknya," katanya.

Nur Jazlan berkata Kementerian Pendidikan pula akan memberi keterangan pada 27 November berhubung isu mengenai pengurusan kawalan keselamatan di institusi pendidikan dan sekolah.

Katanya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberi keterangan berhubung pengurusan loji insinerator pada 3 Disember depan. "PAC juga sedang menyenaraikan beberapa kementerian, jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan dipanggil tahun depan, bagi memberi penjelasan terhadap pengurusan wang kerajaan berdasarkan beberapa kriteria serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan