Kerajaan Perlu Lakukan Usaha Popularkan Bahasa Melayu-Malaysia Di Korea Selatan

Diterbitkan: Khamis, 14 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Seung-Won Song
Seung-Won Song

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempergiatkan lagi usaha untuk mempopularkan penggunaan Bahasa Melayu negara ini dalam kalangan rakyat Korea Selatan.

Ketua Jabatan Tafsiran dan Terjemahan Melayu-Indonesia, Universiti Hankuk, Korea Selatan, Profesor Dr Seung-Won Song, berkata, buat masa ini golongan mahasiswa di universiti itu lebih selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu-Indonesia.

"Bahasa Melayu-Indonesia diajar dan digunakan dalam pengajaran di universiti itu kerana kita kekurangan sumber untuk mengajar Bahasa Melayu-Malaysia.

"Kebanyakan tenaga pengajar Bahasa Melayu fasih berbahasa Melayu-Indonesia dan bahan-bahan untuk sesi kuliah diambil sepenuhnya dari negara tersebut," katanya ketika kepada mStar Online.

Beliau berada di Malaysia bagi menghadiri Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Kelapan anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Rabu.

Menurutnya, penutur Bahasa Melayu-Malaysia dalam kalangan mahasiswa di Universiti Hankuk tidak ramai berbanding mereka yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu-Indonesia.

"Situasi ini amat berbeza dengan negara China dan Jepun kerana terdapat ramai penutur Bahasa Melayu-Malaysia dalam kalangan mahasiswa berikutan wujudnya jabatan pengajian Bahasa Melayu di kedua-dua negara itu.

"Di sini (Korea) jabatan pengajian Bahasa Melayu-Malaysia digabungkan dengan Bahasa Melayu-Indonesia di bawah jabatan yang sama. Jadi sukar bagi mereka untuk mendalami bahasa tersebut," katanya.

Pada masa sama, Seung, 40, yakin Bahasa Melayu-Malaysia mampu mengatasi Bahasa Inggeris untuk menjadi bahasa dunia suatu hari nanti.

"Bahasa Melayu itu lebih unggul daripada Bahasa Inggeris. Bahasanya lebih mudah untuk dipelajari dan boleh dituturkan sesiapa saja... tiada batasan," katanya.

Seung yang berasal dari Seoul berkata, penggunaan Bahasa Melayu yang tiada batasan mendorong beliau untuk mempelajari bahasa itu sejak 15 tahun yang lalu.

"Di Korea, percakapan kita dengan golongan yang lebih tua agak terbatas kerana kita perlu menggunakan bahasa lain (hormat) ketika berkomunikasi dengan mereka.

"Oleh itu, orang muda jarang berkomunikasi dengan golongan tua. Penggunaan bahasa amat mempengaruhi hubungan sosial di Korea terutamanya golongan wanita," katanya.

Menceritakan pengalamannya ketika mempelajari Bahasa Melayu-Malaysia, Seung berkata beliau mengikuti kursus bahasa itu di Universiti Malaya, 15 tahun yang lalu.

"Saya belajar di sini selama lima bulan. Bahasanya tidak sukar untuk pelajari tetapi kita memerlukan sedikit masa untuk memahami pengayaan kosa katanya," ujarnya.

Sebelum itu, Seung telah mempelajari Bahasa Melayu-Indonesia di sebuah universiti di Indonesia selama enam bulan pada 1992.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan