Rakaman Video Kedai Telefon Bimbit Dirompak di Klang Tersebar

Diterbitkan: Rabu, 13 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rakaman video memaparkan babak sebuah kedai telefon bimbit di Bandar Puteri Klang dirompak telah dimuat naik di YouTube untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa perompak berkenaan masih bebas.

Rakaman video berdurasi 1.40 minit yang diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan memaparkan babak seorang lelaki mengacukan sebilah parang kepada pembantu kedai sebelum menggeledah kedai berkenaan.

Perompak berkenaan turut memecahkan kabinet pameran sebelum melarikan diri dengan barangan yang dicuri dalam insiden yang berlaku pada pukul 7.20 malam Selasa.

Rakaman video berkenaan dimuat naik oleh adik kepada pemilik kedai telefon bimbit tersebut, Suresh Kalyenannan, 25, di laman Facebook, 'Malaysian Crime Awareness Campaign' pada pukul 2 pagi Rabu.

Suresh berkata perompak berkenaan turut meragut seutas rantai daripada leher pembantu kedai yang ketakutan itu.

"Ia menyebabkan leher Ana (pembantu kedai) luka dan bertanda merah, " kata Suresh ketika dihubungi pada Rabu.

Ketika rompakan berlaku, seorang tukang gunting rambut dilihat sedang membuka pintu kedainya. Dia segera melarikan diri apabila melihat kejadian rompakan itu berlaku.

"Dia masih terkejut dengan kejadian yang berlaku," kata Suresh.

Beliau berkata kedua-dua suspek juga mungkin terlibat dengan beberapa kes rompakan di kawasan berkenaan.

"Mereka telah dilihat berada di kawasan ini sejak Deepavali. Mereka menaiki kereta Perodua Myvi berwarna kelabu," katanya.

Kedua-dua suspek masuk ke kedai berkenaan untuk membeli kad tambah nilai sebelum merompak kedai berkenaan 10 minit kemudian.

"Saya rasa mereka mahu memastikan Ana seorang diri sebelum mereka merompak kedai berkenaan," kata Suresh sambil menambah dia mengalami kerugian bernilai RM1,000 akibat rompakan tersebut.

"Kami telah membuat laporan polis," katanya.

Video berkenaan dikongsi di Facebook MCPF sebelum dimuat naik di YouTube.

Laman Facebook MCPF turut mendapat ratusan komen yang mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu.

Mereka menggesa pihak polis segera menangkap kedua-dua lelaki berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner, Mohamad Mat Yusop berkata pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV berkenaan.

"Kami telah melancarkan operasi untuk menjejaki suspek," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan