Persaingan Sengit Untuk Kerusi Naib Presiden PAS

Diterbitkan: Selasa, 12 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

(dari kiri) Husam, Mahfuz dan Salahuddin akan mempertahankan kerusi Naib Presiden pada pemilihan PAS bulan ini.
(dari kiri) Husam, Mahfuz dan Salahuddin akan mempertahankan kerusi Naib Presiden pada pemilihan PAS bulan ini.

DATUK Husam Musa sukar untuk dibaca oleh sesiapa pun, termasuk kawan-kawan karib beliau sendiri.

Sebelum ini para penyokong beliau dalam PAS selama ini menguar-uarkan bahawa naib presiden PAS itu akan bertanding untuk kerusi timbalan presiden dalam pemilihan parti minggu depan.

Tetapi tidak lama setelah pulang dari Kurdistan Jumaat lalu, ahli politik licik itu mengumumkan menerusi Twitter bahawa hanya beliau akan mempertahankan kerusi naib presiden.

Husam akhirnya memutuskan untuk mengejar sesuatu yang lebih realistik dan terjangkau.

Kerjaya politik beliau belum menuju ke penghujung, namun bintangnya tidak lagi bersinar seperti dulu. Jika politik adalah permainan tenis, maka Husam adalah Roger Federer PAS – bintang besar yang kini memudar.

Beliau dulu diperkirakan akan menjadi menteri besar Kelantan, tetapi kini beliau hanya menjadi backbencher.

Husam masih memegang kerusi dewan undangan negeri Salor, namun beliau dipinggirkan kerajaan Kelantan kerana pihak istana khabarnya kurang senang dengannya dan Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi berada pucuk pimpinan kerajaan untuk mempertahankannya.

Ahli-ahli PAS masih belum berhenti memperkatakan tentang tindakan agresif beliau sewaktu sesi pembentangan belanjawan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Bagi rakan-rakannya dari PAS, beliau telah bertindak seperti wakil rakyat dari barisan pembangkang. Pendekatannya yang agak keras menjadi lebih dramatik lantaran penampilannya yang sejak kebelakangan ini bermisai ala Hitler.

Semua ini ironik kerana hanya beberapa tahun yang lalu, Nik Aziz sendiri telah memilih beliau untuk membentangkan belanjawan negeri.

Kini, beliau yang mengkritik belanjawan negeri. Bagi sesetengah orang, beliau bertindak sedemikian kerana berdendam, bagi sesetengah yang lain pula beliau hanya memainkan peranan yang sepatutnya sebagai backbencher.

Banyak yang menjadi pertaruhan ahli politik berminda intelektual ini dalam pemilihan parti.

Kemenangan akan memberikan beliau nafas baru, kekalahan pula akan menjadikan penamat untuknya lebih hampir. Husam memberitahu seorang sahabat lamanya bahawa beliau menyerahkan nasibnya kepada Tuhan dan tidak akan membiarkan dirinya tenggelam dalam kerisauan.

Lima Calon Naib

Lima orang calon sebenarnya bersaing untuk tiga kerusi naib presiden. Selain penyandang jawatan, iaitu Husam, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, dua yang lain adalah Tuan Ibrahim Tuan Man dari Pahang dan Datuk Abu Bakar Chik dari Terengganu.

Memang sesuatu yang baik untuk Husam bersikap optimis, kerana calon yang dianggap akan menang dalam pemilihan ini adalah Tuan Ibrahim, yang juga ketua penerangan parti dan ulama terhormat dari Pahang.

Tuan Ibrahim mendapat perhatian banyak anggota parti apabila beliau menolak pencalonan untuk kerusi timbalan presiden dengan alasan jawatan itu terlalu tinggi untuknya.

Sikap merendah diri ini mungkin akan menghasilkan jumlah undi tertinggi untuk beliau bagi kerusi naib presiden. Daripada empat yang lain, calon yang berkemungkinan kalah adalah Datuk Abu Bakar Chik, seorang ahli politik yang telah berusia dan berbadan gempal.

Abu Bakar adalah rakan presiden parti Datuk Seri Hadi Awang. Namanya dulu gah di Terengganu, tetapi beliau kini berada dalam senja. Tiada siapa dalam PAS mampu menjelaskan mengapa beliau membuat keputusan untuk turut bertanding.

Selain itu, beliau dikenali sebagai seorang yang kurang berhati-hati dan selama ini telah mengumpul lebih banyak pengkritik berbanding kawan.

Menurut Abu Bakar, beliau mahu berada di barisan depan untuk membantu menentukan hala tuju parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Bererti, beliau merasakan PAS akan hilang lebih banyak undi Melayu melainkan jika parti itu bertegas dengan agenda Islamnya dan kembali ke jalan asal.

Sukar menjangkakan perwakilan PAS akan memberikan Abu Bakar undi mereka. Beliau mungkin terus berganjak ke ufuk senja seperti rakan-rakan seangkatannya dalam Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tinggal Salahuddin, Mahfuz dan Husam yang akan bersaing merebut dua lagi kerusi yang berbaki.

Salahuddin disenangi dan pendekatannya yang berdiplomasi dalam menangani isu-isu menyebabkan beliau diberi gelaran “Kofi Anan PAS”.

Beliau berjaya meraih jumlah pencalonan tertinggi. Jika ini diterjemah dalam bentuk undi, beliau akan menang.

Masalahnya, tidak seperti Husam dan Mahfuz, Salahuddin bukan lagi seorang Yang Berhormat. Salahuddin mengambil risiko besar melepaskan kerusi selamatnya di Kelantan untuk bertanding di Johor dan kalah di sana.

Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena, bukan seorang ahli politik yang menonjol. Namun, orang yang pencapaiannya sederhana sering lebih berjaya dalam politik – musuhnya tidak banyak kerana dia tidak membuatkan orang lain merasa tergugat.

Tuah Mahfuz juga selalu baik. Kata kawan-kawannya, ada malaikat yang selalu melindunginya.

Pada tahun 2011, beberapa jam sebelum para perwakilan mengundi, presiden parti memuji Mahfuz dalam ucapan dasar presiden kerana peranannya dalam kempen anti perangkap laju. Mahfuz lalu menang dalam pemilihan.

Mahfuz mungkin menang sekali lagi berkat kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Sungai Limau, di mana beliau menjadi pengarah pilihan raya PAS. PAS terdesak untuk menang dalam pilihan raya tersebut dan Mahfuz telah memungkinkannya.

Penyokong-penyokong Husam pula terus berkempen untuknya. Bagi mereka, Husam telah membantu PAS mempertahankan Kelantan apabila beliau memilih untuk bertanding di kerusi parlimen Putrajaya dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut mereka, warga Kelantan yang bekerja di Lembah Klang telah membanjiri ceramahnya di Putrajaya dan beliau membantu membentuk sentimen mereka sebelum pulang mengundi di Kelantan.

Pendek kata, ada calon yang akan menang besar dan ada pula yang akan kalah besar. Selain itu sukar untuk diduga.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan