Pegawai Penguatkuasa Agama Akan Dibekalkan Dengan Senjata Api - Jamil Khir

Diterbitkan: Selasa, 12 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR: Pegawai penguatkuasa jabatan agama Islam akan dibekalkan dengan senjata api ketika mereka bertugas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia merupakan antara cadangan yang akan dipertimbangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha memastikan keselamatan pegawainya terjamin.

Walaupun mengakui penggunaan senjata api bukanlah penyelesaian terbaik, Jamil Khir berkata usaha mempertingkatkan tahap keselamatan adalah lebih penting kerana pegawai penguatkuasa perlu diberi keyakinan mengenai keselamatan mereka.

"Senjata api akan dibekalkan kepada pegawai penguatkuasa ketika mereka bertugas namun bagaimana pula ketika pegawai ini berada di rumah.

"Jakim sedang melihat kepada semua aspek ini termasuk rondaan secara berkala oleh kereta peronda polis di kawasan kediaman bagi memastikan keselamatan mereka terjamin," katanya.

Jamil berkata demikian sebagai mengulas kematian Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek.

Ahmad Rafli, 49, ditembak mati dihadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan pada Ahad.

Mangsa ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang memakai jubah hitam dan berkopiah sebaik sahaja menjawab salam daripada suspek.

Pengikut kumpulan ajaran sesat, Tuhan Harun dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan berkenaan.

Jamil Khir berkata sekurang-kurangya lapan kumpulan ajaran sesat dikenalpasti masih bergiat aktif di negara ini namun tidak ada yang berbahaya seperti kumpulan yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Ahmad Rafli.

"Mereka (lapan kumpulan) tidak terlalu agresif," katanya.

Beliau berkata kumpulan tersebut bergerak secara sulit dan agar sukar untuk dikesan.

"Kebanyakannya menggunakan pendekatan yang lembut untuk mendapatkan pengikut dan agak sukar untuk mendakwa mereka kerana bukti yang tidak mencukupi serta kekurangan saksi," katanya.

"Mereka (kumpulan ajaran sesat) ini seperti penyakit, kita juga tidak tahu bila mereka akan muncul," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan