Langkah Kerajaan Mansuh SST Bakal Jadikan Malaysia Destinasi Beli-Belah Bebas Duti

Diterbitkan: Selasa, 12 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mirza Mohammad Taiyab
Mirza Mohammad Taiyab

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengumumkan pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini dijangka dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi beli-belah bebas-duti kepada pelancong sekali gus meningkatkan industri peruncitan di negara ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata langkah itu turut mempelbagaikan pilihan produk di pasaran memandangkan jenama-jenama utama antarabangsa berminat untuk melabur di Malaysia.

Katanya, menerusi usaha itu, harga lebih rendah dan kompetitif dapat ditawarkan, menjadikan peruncit Malaysia lebih kompetitif berbanding peruncit-peruncit di negara-negara lain.

"Saya amat gembira kerana pemain industri peruncitan di negara ini menyokong penuh usaha kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai syurga beli-belah di rantau ini," katanya ketika berucap pada seminar 'Shop Malaysia' di sini, Selasa.

Beliau berkata, industri peruncitan di Malaysia meningkat 5.5 peratus tahun lalu dengan memperoleh keuntungan selepas jualan sebanyak RM87.8 bilion.

"Jumlah itu menunjukkan sektor ini semakin berkembang dengan lebih banyak pusat beli belah dibina untuk memenuhi permintaan pengguna terutamanya pelancong," katanya.

Mirza berkata kira-kira 25 juta pelancong berkunjung ke negara ini pada tahun lalu yang membelanjakan RM19 bilion untuk membeli-belah.

"Jumlah perbelanjaan pelancong pada tahun lalu meningkat 5.7 peratus berbanding tahun 2011. Pada 2011, beli belah hanyalah 23.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Mirza berkata kerjasama dengan sektor swasta untuk mentransformasikan pusat membeli-belah yang popular di Kuala Lumpur iaitu di sekitar Bukit Bintang menjadi destinasi tarikan pelancong berjaya membuahkan hasil.

Jelasnya, ia terbukti apabila Kuala Lumpur menduduki ranking keempat bagi kategori '10 Destinasi Membeli-Belah Terbaik di Dunia' menerusi tinjauan yang dilakukan CNN pada tahun lalu.

"Kita berjaya mengatasi syurga membeli belah terkemuka dunia seperti Paris, Hong Kong dan Dubai selain diiktiraf antara 10 negara paling mesra di dunia," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan