Hanya Satu Jawatan Exco Untuk MCA - MB Kedah

Diterbitkan: Selasa, 12 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Hanya seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada MCA yang akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Kedah walaupun terdapat dua kekosongan jawatan tersebut.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata walaupun terdapat dua Adun MCA di Kedah tetapi hanya seorang iaitu Adun Gurun Dr Leong Yong Kong yang akan dilantik.

"Daripada awal saya nyatakan saya telah khaskan satu jawatan exco untuk Adun mewakili masyarakat Tionghoa. Daripada awal lagi memang satu, satu lagi 'reserve' (simpan) untuk masa depan, tak tau apa keputusan yang akan dibuat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Perancangan Harta Pusaka Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) peringkat negeri di sini, Selasa.

Mukhriz ketika ini hanya melantik lapan Exco kerajaan negeri berbanding 10 yang biasa diamalkan, dengan satu dikhaskan untuk wakil MCA dan satu lagi sebagai "reserve".

MCA melarang anggotanya memegang jawatan dalam kerajaan, hasil keputusan mesyuarat agung parti itu pada 2011 dan 2012, berikutan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas. Kedah mempunyai dua Adun dari MCA - Dr Leong dan Chua Thiong Gee (Kulim). Bagaimanapun, resolusi mesyuarat agung luar biasa parti itu 20 Oktober lepas membenarkan anggota MCA menerima pelantikan jawatan peringkat kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Mukhriz bercadang untuk melantik Dr Leong mengisi jawatan Exco tetapi Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilaporkan sebagai berkata mahukan dua jawatan Exco Kedah yang kosong diberikan kepada Adun MCA.

Mukhriz berkata pelantikan Dr Leong sebagai Exco adalah bagi memenuhi janji beliau dan tidak timbul isu dua Exco daripada MCA. "Pelantikan (Exco daripada MCA) sepatutnya dibuat dengan exco-exco lain bulan Mei lepas. Kita ambil masa bukan sebab kita tetapi kerana keputusan MCA. Bila MCA buat keputusan (lain), tiba-tiba nak dua pulak, ini sedikit tak adil. Bagaimanapun ini masih boleh dibincangkan. Buat masa ini, satu je Exco," katanya.

Mukhriz berkata beliau ada menerima surat daripada Dr Chua mengenai pelantikan Exco daripada Adun MCA tetapi surat itu hanya mencadangkan nama Dr Leong.

"Dia (Dr Chua) mencadangkan nama Dr Leong sebagai Adun yang dicalonkan sebagai Exco baharu. Dalam surat satu nama je. Saya dapat surat tu ketika (kempen) pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau (baru-baru ini) dan bertemu beliau.

"Bila saya baca surat khabar selepas itu, agak terkejut dia cadangkan dua Exco padahal masa jumpa takde pulak," katanya.

Mukhriz berkata majlis angkat sumpah Exco baharu itu tidak sempat dilakukan sebelum persidangan DUN pada bulan ini, dan akan dilakukan pada bulan Disember atau Januari. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan