Kerajaan Kedah Siasat Dakwaan Guru Besar Sebar Syiah Di Sekolah

Diterbitkan: Isnin, 11 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan menyiasat dakwaan ada guru terutama yang mengajar Pendidikan Islam menyebar fahaman Syiah kepada pelajar sekolah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga dan Pelancongan Mohd Rawi Abd Hamid berkata pihaknya sedang mengenal pasti guru-guru yang dimaksudkan dan akan mengadakan pertemuan dengan mereka secepat mungkin.

Jika benar guru terbabit berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Anti-Syiah yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Pemantapan Akidah Peringkat negeri di Sri Mentaloon pada Isnin.

"... dan kita minta Kementerian Pendidikan ambil tindakan tegas terhadap guru yang menyebarkan fahaman bertentangan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya

Mohd Rawi diminta mengulas laporan media mengenai tindakan beberapa guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah kerajaan di Kedah dikesan menyebar serta mengedar buku berkaitan fahaman dan ajaran Syiah kepada pelajar mereka.

Mohd Rawi berkata guru yang dikenal pasti terbabit ajaran Syiah itu akan menjalani proses mengembalikan mereka ke pangkal jalan oleh Majlis Agama Islam Kedah.

"Kita nak orang ramai tahu bahaya fahaman Syiah ini. Kita lihat di Kedah hari ini kira-kira 100 pengikut Syiah berani tampil yang diketuai ketuanya Abdullah Hassan membuat laporan polis terhadap Mufti Kedah.

"Kita bimbang apabila anggota mereka semakin ramai, akan menjadi lebih berani tampil untuk menentang kita. Dalam fahaman itu, mereka halalkan darah pengikut Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Itu yang kita bimbangkan," katanya.

Sementara itu Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata tanggungjawab menyekat fahaman terpesong itu bukan terletak pada jabatan agama, mufti ataupun kerajaan negeri sahaja, sebaliknya perlu dilakukan oleh seluruh masyarakat.

"Kita sekarang ini nak selamatkan orang Islam Ahli Sunnah Wal-Jamaah daripada terikut dengan fahaman bertentangan itu sebab kita tahu orang Syiah ini akan janjikan pelbagai kemewahan dan sebagainya untuk tarik orang ramai sertai mereka," katanya.

Beliau juga yakin mereka yang baharu sahaja mengikut fahaman itu dapat diselamatkan menerusi pelbagai cara.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan