Hadi Awang Kekalkan Jawatan Presiden PAS

Diterbitkan: Ahad, 10 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PAS apabila menang tanpa bertanding selepas proses pencalonan bagi Muktamar Ke-59 parti itu berakhir petang Jumaat.

Kemenangan itu membolehkan beliau memegang tampuk kepimpinan parti sebagai presiden buat kali keenam berturut-turut sejak 2002, selepas kematian bekas presiden Datuk Fadzil Mohd Noor.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PAS Pusat bagi sesi 2013-2015, Asmuni Awi ketika mengumumkan demikian berkata Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib juga mengekalkan jawatannya selepas menang tanpa bertanding.

Namun, jawatan Timbalan Presiden PAS akan menyaksikan penyandangnya Mohamad Sabu dicabar Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, katanya di Ibu Pejabat PAS di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan.

Asmuni berkata tiga jawatan Naib Presiden pula menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik, bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa (penyandang), Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (penyandang), bekas Anggota Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub (penyandang) dan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketua Dewan Pemuda PAS pula menjadi rebutan antara Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Zulhazmi Zakaria.

"Bagi Ketua Dewan Muslimat PAS, penyandangnya Siti Zailah Mohd Yusof berdepan dengan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS (pada 2007) Nuridah Salleh," katanya. Sementara itu, ketika mengulas mengenai perebutan jawatan kepimpinan nombor dua parti, Takiyuddin berkata tidak timbul isu perebutan oleh golongan profesional dan ulama.

"Ini kerana semua anggota parti memahami dan menerima profesional itu merujuk kepada kerjaya seseorang manakala ulama merujuk pada latar belakang pendidikan agama yang diterima oleh calon.

"Golongan profesional dan ulama boleh bertanding dalam semua jawatan kecuali dalam Dewan Ulama kerana parti menekankan mereka yang berpendidikan dalam agama diberi peluang duduk di dalam Dewan Ulama," katanya.

Muktamar PAS akan berlangsung pada 22 November ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan