Patriotisme Ciri Penting Dalam Proses Pembangunan Negara Bangsa - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 8 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semangat patriotik merupakan antara ciri penting yang perlu dipupuk dalam kalangan segenap lapisan masyarakat dalam proses pembangunan dan halatuju negara bangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata patriotisme bukan sahaja wujud dalam kalangan anggota keselamatan malah perlu mekar di sanubari setiap warga Malaysia sepanjang masa sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara yang kukuh dan selamat.

Beliau berkata patriotisme merujuk kepada perasaan cinta kepada negara yang terbit dari hati yang jujur dan ikhlas, lalu mekar secara semulajadi, dan kemuncaknya ialah kesanggupan mereka yang berjiwa patriotik untuk mempertaruhkan nyawa demi kepentingan dan keselamatan negara.

Walaupun tidak semua daripada anggota masyarakat adalah dari kalangan anggota keselamatan namun patriotisme boleh dimanifestasi melalui pelbagai cara bagi menunjukkan kita juga memiliki jiwa dan semangat patriotik yang sama, katanya.

"Tragedi pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu memberi iktibar betapa aspek keselamatan, soal hak dan kedaulatan negara perlu diletakkan sebagai tiang seri dalam proses membina sebuah negara bangsa, " katanya semasa berucap pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Wira Negara di Dewan Bankuet, Kompleks Sri Perdana di sini Khamis.

Majlis itu menyaksikan tujuh balu dan enam ibu bapa pegawai serta anggota polis dan tentera yang terkorban dalam tragedi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, awal tahun ini, diraikan.

Turut diraikan ialah 16 pegawai polis dan tentera yang cedera sewaktu bertugas dalam Ops Daulat di Lahad Datu.

Perdana Menteri berkata sejak dilancarkan Mac lepas, Tabung Wira Negara yang diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam itu telah mengutip sumbangan RM3.2 juta dan RM1 juta daripada jumlah itu adalah sumbangan kerajaan Sarawak.

Beliau berkata bagi waris kepada wira-wira negara yang mati syahid dalam insiden itu, mereka akan menerima sumbangan sekali sahaja masing-masing RM22,000 setiap seorang, RM10,000 bagi yang cedera parah, RM5,000 bagi yang cedera ringan, di samping RM10,000 bagi anggota keluarga yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Katanya selain sumbangan sekali sahaja itu, sumbangan bulanan juga akan diberikan melalui pelaburan dalam Amanah Raya iaitu RM800 kepada balu, RM500 kepada anak-anak berumur bawah 18 tahun, RM400 kepada ibu bapa wira yang bujang.

Selain itu sumbangan pendidikan bulanan turut diberikan, berupa RM200 kepada anak-anak mereka yang berada di peringkat prasekolah, RM300 kepada yang bersekolah rendah dan RM500 kepada pelajar sekolah menengah, katanya.

Najib berkata segala bakti yang dicurahkan wira-wira itu tidak akan dilupakan dan jasa bakti mereka serta peristiwa Lahad Datu, pasti tidak akan terhakis daripada lipatan sejarah.

Beliau berkata peristiwa Lahad Datu mesti dijadikan pengajaran, bahawa langkah konkrit dan berkesan perlu dilakukan supaya peristiwa pencerobohan itu tidak akan berulang.

"Kita juga memberi isyarat jelas kepada mereka yang terlintas melakukan perkara yang sama (menceroboh) dan berniat jahat, bahawa kita tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara," katanya.

"Inilah yang kita mesti kenangkan, kerana pengorbanan mereka (wira negara) bukan sia-sia, mereka tetap akan dikenang oleh negara dan rakyat yang terhutang budi mereka, mudah-mudahan Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh mereka," tambahnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan