Malaysia Perlu Kembali Kepada Pengukuhan Budaya Dengan Nilai Kesederhanaan

Diterbitkan: Khamis, 7 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Malaysia mesti kembali kepada asal usul pengukuhan budaya dengan nilai kesederhanaan yang telah ditanam berabad-abad melalui pergaulan dan interaksi, kata tokoh diplomat Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata elemen penting dalam prinsip kesederhanaan sudah dinyatakan dengan jelas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memperkenalkan konsep Gerakan Kesederhanaan Global pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiga tahun lalu.

"Seeloknya kita dapatkan beberapa langkah kompromi dalam menghadapi peningkatan kemarahan dan sikap yang betul-betul tidak bertoleransi," katanya dalam Syarahan Perdana Budaya 2013 bertajuk 'Polemik Politik: Ancaman Terhadap Penyatuan Bangsa' di sini Khamis.

Menurutnya polemik politik berfungsi melalui usaha menghasut dan memecah-belah dalam kalangan kumpulan dan individu serta membantutkan apa-apa kemajuan ke arah integrasi idea dan penerimaan perbezaan.

"Kita tidak perlu pergi begitu jauh untuk mencari contoh polemik politik memandangkan ia berlaku di negara kita sendiri.

"Meskipun terdapat bukti bahawa usaha telah dilaksanakan bagi mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, terdapat perasaan marah yang tidak terkawal terhadap apa yang dilihat sebagai peningkatan peminggiran kepentingan mengikut garis etnik, yang menyuburkan polemik politik," katanya.

Razali, 74, yang juga Pengerusi Pergerakan Global Yayasan Kesederhanaan dan bekas Presiden Perhimpunan Agung PBB, berkata kuasa media sosial telah menambahkan kuasa polemik dengan pesat dengan menjadikan masyarakat menghasilkan pendapat dalam sekelip mata dan menerima maklumat pada nilai muka.

"Percambahan penggunaan media sosial menjadikan kita tidak lagi mempunyai masa untuk memikirkan implikasi, mengesahkan kebenaran dan menilai hujah dengan sewajarnya," katanya.

Jelas beliau dari satu segi polemik boleh digunakan untuk mengubah pendapat minoriti menjadi perjuangan yang sama, menyatukan pelbagai kumpulan berlainan dalam satu barisan dan menggerakkan keseluruhan penduduk menjadi tindakan kolektif.

Beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk mengukuhkan semangat keusahawanan dan kecenderungan ke arah kerja keras dalam kalangan generasi muda.

"Kualiti yang ada tanpa mengira latar belakang dan budaya perlu terus diasah dengan kemahiran teknikal sementara potensi semula jadi perlu dimanfaatkan untuk menggalakkan mereka memperbaiki diri dan memiliki daya saing global," katanya.

Syarahan Perdana Budaya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara merupakan program keilmuan berbentuk syarahan yang membincangkan isu-isu berkaitan kebudayaan.

Program ini adalah kesinambungan kepada program syarahan yang pernah diadakan di sekitar tahun 1980-an dengan nama Syarahan Tun Sri Lanang.

Objektif program syarahan ini ialah melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi mengikut acuan Malaysia. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan