Johor Bentang Bajet 2014 Dengan Empat Strategi Utama

Diterbitkan: Khamis, 7 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSAJAYA: Kerajaan Johor membentangkan Bajet 2014 dengan unjuran lebihan RM2.02 juta berdasarkan anggaran hasil RM1,064.59 juta berbanding perbelanjaan mengurus RM1,062.57 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia menggariskan empat strategi utama iaitu mencorakkan ekonomi mampan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasa dan merakyatkan kerajaan dan melahirkan modal insan berketrampilan.

"Kerajaan negeri yakin bahawa pembangunan dan pengagihan hasil mahsul negeri akan dapat dijayakan dengan keadilan dan kesaksamaan jika ia disandarkan kepada muafakat.

"Sehubungan itu juga kerajaan negeri sentiasa beriltizam untuk memastikan pengurusan ekonomi negeri Johor terus dipacu dengan terancang, manakala hasil yang diperoleh diurus dengan berhemah demi memastikan matlamat utama kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2014 bertema 'Muafakat Pembangunan dan Pengagihan' pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, Khamis.

Mohamed Khaled yang pertama kali membentangkan bajet selepas dilantik Menteri Besar selepas pilihan raya umum ke-13 Mei lepas berkata hasil kerajaan negeri pada tahun depan dianggar meningkat kepada RM1,064.59 juta berbanding anggaran pada tahun ini RM908.66 juta.

Daripada jumlah itu, katanya hasil cukai dianggar sebanyak RM398.46 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM478.36 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM187.77 juta.

Katanya, di bawah peruntukan mengurus yang berjumlah RM1,062.57, sejumlah RM403.44 juta adalah bagi bayaran emolumen dan anggaran sebanyak RM261.87 pula disediakan untuk perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap pula sebanyak RM360.76.

Mohamed Khaled berkata sejumlah RM16.06 juta juga disediakan untuk pembelian aset dan RM20.44 juta pula adalah bagi perbelanjaan lain, manakala peruntukan pembangunan pada tahun depan adalah sebanyak RM296.80 juta

"Suka saya maklumkan pertumbuhan ekonomi negeri Johor kini berada di tahap yang kukuh dan meyakinkan. Pada tahun ini ini sehingga Ogos lepas sahaja negeri ini mencatatkan penerimaan pelaburan industri tertinggi negara iaitu sebanyak RM8.8 billion.

"Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion atau sekitar 40 peratus berbanding keseluruhan tahun 2012.

"Ini sekali gus meninggalkan jauh negeri-negeri lain dan melalui pelaburan tersebut dianggarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti dapat diwujudkan dan dijangka akan bertambah menjelang penghujung tahun ini," katanya.

Pelaburan asing, katanya terus kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai berjumlah RM6.6 bilion atau 75 peratus dengan Amerika Syarikat menjadi pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.7 bilion atau 31 daripada jumlah keseluruhan pelaburan asing.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan positif itu ekonomi negeri diunjurkan akan berkembang pada kadar 6.1 peratus bagi tahun 2013 yang sekali gus mencerminkan kekukuhan asas ekonomi negeri di sebalik ketidaktentuan ekonomi global pada masa kini.

Katanya, pencapaian pelaburan domestik dan antarabangsa yang memberangsangkan itu turut disumbangkan oleh peranan yang dimainkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang menjadi kawasan pertumbuhan yang komprehensif dan berdaya saing.

"Ini terbukti apabila jumlah komitmen pelaburan yang terkumpul sejak 2006 sehingga Oktober lepas ialah sebanyak RM129 billion dan dari jumlah itu sebanyak 44 peratus atau RM56.3 bilion telahpun direalisasikan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan