Dakwaan AS Intip Malaysia Bukan Kerana Kelemahan Kerajaan - Timbalan Menteri Luar

Diterbitkan: Khamis, 7 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kegiatan pengintipan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia bukan bermakna kerajaan lemah dalam melindungi keselamatan negara kerana AS juga dikatakan turut berbuat demikian ke atas negara-negara lain, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin.

Menyangkal kritikan bahawa kegiatan pengintipan ke atas Malaysia disebabkan kelemahan kerajaan, beliau berkata AS malah didakwa melakukan pengintipan ke atas Canselor Jerman Angela Merkel.

"Kegiatan pengintipan itu bukan kerana kelemahan Malaysia tetapi lebih kepada kelemahan di pihak AS dalam memahami prinsip hak asasi manusia," katanya dalam sidang media di sini Khamis selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Pihak Berkepentingan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Hamzah menegaskan kegiatan pengintipan bercanggah dengan apa yang diperjuangkan AS selama ini berhubung hak asasi manusia yang tidak membenarkan sesiapa pun mengintip mana-mana negara termasuk pemimpin dan rakyatnya.

"AS patut melihat ini sebagai kelemahan dalam memahami konsep melindungi keselamatan negara, iaitu bukan dengan cara melakukan intipan ke atas negara lain. Mereka perlu lihat kepada rakan-rakan mereka, seperti Malaysia, sebagai negara yang mesra yang dapat membantu satu sama lain," katanya.

Isu kegiatan pengintipan oleh AS timbul selepas akhbar melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Joseph Snowden mendedahkan AS memasang 90 alat pemantauan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaan AS di sini.

Hamzah berkata kerajaan menentang kegiatan pengintipan dan sekiranya dakwaan itu benar, kerajaan mendesak AS agar menghentikannya segera.

Mengenai hubungan dua hala, beliau berkata kerajaan perlu mematuhi etika tertentu dalam soal itu.

"Kami telah memanggil pihak Amerika Syarikat (kedutaan AS) dan mereka telah mengeluarkan kenyataan. Tindakan susulan akan dibuat bagi memastikan insiden ini (pengintipan) tidak berlaku lagi di masa depan," katanya.

Kepada soalan sama ada terdapat kemungkinan Malaysia memutuskan hubungan dua hala dengan AS, Hamzah berkata isu itu tidak timbul.

"Malaysia telah meminta penjelasan. Jika kami tidak berpuas hati, kami akan minta penjelasan lanjut. Kami akan terus mendapatkan penjelasan sehingga keputusannya memihak kepada kita kerana ini negara kita. Ia merupakan etika diplomatik yang dipatuhi negara yang bermaruah," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Saifuddin Abdullah, semasa mengulas isu itu berkata GMM berpuas hati dengan langkah diambil Wisma Putra dalam mengendalikan isu itu.

Perbincangan meja bulat itu diadakan sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung ke-68 Pertubuhan Bangsa Bersatu pada September, dengan beliau mengulangi gesaan yang dibuatnya tiga tahun lalu supaya semua negara bersatu dan menolak trend menimbulkan malapetaka ke arah keganasan ekstrem.

Dihadiri 200 peserta, perbincangan bertumpu kepada peluang menerokai bidang kerjasama dan persefahaman bersama, termasuk mencapai persetujuan ke atas satu set nilai-nilai kesederhanaan, mengenal pasti cabaran dan kekangan dan menerima pakai senarai projek-projek bersama. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan