Malaysia Alu-Alukan Lebih Banyak Pelaburan Dari Perancis - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 6 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bercakap pada satu mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri Perancis, di Paris, Selasa. - fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bercakap pada satu mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri Perancis, di Paris, Selasa. - fotoBERNAMA

PARIS: Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari Perancis, terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu dalam industri teknologi tinggi, bernilai tambah, berasaskan pengetahuan dan intensif kemahiran yang memberikan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sehubungan dengan kepakaran teknologi dan budaya inovatif Perancis yang kukuh, Malaysia percaya terdapat banyak peluang pelaburan untuk syarikat Perancis, terutamanya dalam sektor utama yang seperti yang diketahui cemerlang di Perancis, seperti industri aeroangkasa, automobil, jentera dan kimia.

Bercakap pada satu mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri Perancis, Muhyiddin berkata Perancis terus menjadi rakan niaga dagangan dan pelaburan penting untuk Malaysia dengan jumlah dagangan dicatatkan pada US$3.54 bilion (RM11.23 bilion) bagi Januari hingga Ogos tahun ini.

Pada 2012, Perancis adalah rakan dagang ke-16 terbesar Malaysia dan jumlah dagangan adalah US$6.02 bilion (RM19.10 bilion).

"Perancis merupakan pelabur asing ke-14 terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia dengan pelaburan lebih US$1 bilion (RM3.17 bilion)," katanya di sini pada Selasa.

Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia akan meneruskan dasar yang cenderung kepada perniagaan, berhemah dan pragmatik untuk memastikan persekitaran pelaburan Malaysia kekal menarik untuk ahli perniagaan, bukan sekadar untuk menjalankan aktiviti perniagaan biasa, tetapi untuk terus berkembang dan mempelbagaikan operasi mereka di Malaysia.

"Saya mahu menjemput anda semua melawat Malaysia dan meneroka sendiri peluang pelaburan dan kemudahan perniagaan yang ada. Kami komited untuk memastikan keperluan pelabur dalam menjalankan perniagaan di Malaysia dipenuhi," kata beliau.

Mengenai ekonomi Malaysia, Muhyiddin berkata beliau yakin bahawa ia akan kekal berdaya tahan disokong oleh paras rizab yang memuaskan, penggunaan domestik yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang sihat.

"Pelaburan yang diluluskan bagi enam bulan pertama 2013 melihat peningkatan 29.9 peratus kepada US$31 bilion (RM98.36 bilion) berbanding tempoh yang sama pada 2012. Kerajaan yakin akan mengatasi pelaburan diluluskan sebanyak US$53.41 bilion (RM169.47 bilion) pada 2012," kata timbalan perdana menteri itu.

Muhyiddin berkata 'Pelan Induk Sektor Perkhidmatan', yang akan menggariskan strategi, langkah dan mengenal pasti potensi subsektor untuk pembangunan, akan diperkenalkan pada 2014, untuk menggalakkan pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan.

Beliau berkata menerusi inisiatif ini, ekonomi Malaysia diunjurkan meningkat pada kadar yang lebih kukuh sebanyak lima peratus kepada 5.5 peratus, yang akan dipacu oleh pelaburan swasta yang berkembang pada 12.7 peratus, dan penggunaan swasta pada kadar 6.2 peratus.

Komitmen dan tindak balas berterusan Malaysia terhadap keperluan dan kecanggihan pasaran global yang sentiasa berubah telah diiktiraf oleh institusi penarafan lokasi pelaburan global, kata Muhyiddin.

"Laporan Bank Dunia 2014 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-6 untuk Kemudahan Menjalankan Perniagaan, satu peningkatan daripada kedudukan ke-12 dalam masa satu tahun. Ini adalah kedudukan tertinggi yang dicapai negara semenjak Bank Dunia memulakan penarafan tahunan itu pada 2005.

"Buku Tahunan Daya Saing Dunia IMD 2013 telah meletakkan Malaysia di antara 15 negara paling berdaya saing dunia. Malaysia menunjukkan peningkatan yang membanggakan dalam parameter kecekapan ekonomi, kecekapan perniagaan dan kecekapan kerajaan," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan