AirAsia Lantik Semula Kamarudin Sebagai Pengerusi Eksekutif - Berita Semasa | mStar

AirAsia Lantik Semula Kamarudin Sebagai Pengerusi Eksekutif

Diterbitkan: Rabu, 6 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd telah melantik semula Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Kamarudin Meranun, sebagian Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas Lembaga Pengarah.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Aireen Omar, berkata Kamarudin akan menjadi peneraju dalam perbincangan dengan kerajaan, pengawal atur penerbangan dan pihak berkuasa lapangan terbang di Malaysia.

"Beliau menggantikan Datuk Aziz Bakar, yang kekal dalam lembaga pengarah sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

"Kamarudin telah bekerja selama lebih satu dekad untuk membina AirAsia sebagai syarikat penerbangan kos rendah terbesar dunia dan saya mengalu-alukan pengalaman industri yang akan beliau kongsi sebagai pengerusi lembaga pengarah," katanya.

Sementara itu, Tan Sri Tony Fernandes telah dilantik semula sebagai CEO kumpulan dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas berikutan penggabungan peranan kumpulan pejabat serantau kembali ke AirAsia.

Sebagai CEO kumpulan, Fernandes akan memberikan kepimpinan menyeluruh kepada kumpulan itu dalam mendorong nilai jenama, mengurangkan kos, dan memacu kecekapan untuk meningkatkan prestasi syarikat penerbangan dan syarikat sekutunya dalam jaringan AirAsia termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan tidak lama lagi, India. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan