Umat Islam Jangan Terpengaruh Fahaman Menyimpang - Jamil Khir

Diterbitkan: Selasa, 5 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seluruh umat Islam perlu berwaspada dan jangan sesekali terpedaya dengan pengaruh atau fahaman menyimpang yang sedang menular dan cuba merosakkan tradisi amalan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurutnya umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi akidah, syariah dan keperibadian.

Beliau berkata penetapan dasar ini sesuai dengan konsep maqasid syariah (objektif undang-undang Islam) yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai objektif utamanya.

"Dalam sesebuah negara, sememangnya tanggungjawab menjaga keluhuran serta kesucian agama terletak di bahu pemerintah, dan di sinilah kerajaan Malaysia berperanan menjalankan prinsip memelihara agama dan mentadbir negara berteraskan maqasid syariah," katanya semasa berucap di majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Katanya tema sambutan tahun ini "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" merujuk kepada pendekatan sederhana yang diamalkan Nabi Muhammad SAW semasa hayat baginda, dan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah ini.

Jamil Khir berkata prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah sejak agama Islam mula disebarkan dalam negara; dan ia menyebabkan tidak ada dalam lipatan sejarah negara yang menyaksikan Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan atau kaedah yang menyusahkan.

"Sebaliknya ajaran Islam disampaikan dan disebar meluas oleh para pendakwah terdahulu dengan penuh hikmah wasatiyyah sehingga ia boleh diterima daripada setinggi-tinggi kedudukan seperti raja sampai ke peringkat rakyat jelata," katanya.

Beliau berkata perpaduan nasional yang tuntas tidak mungkin dicapai oleh umat jika tiada ijmak dalam prinsip-prinsip agama, ditambah pula polemik tanpa kesudahan yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

Katanya hijrah bukan sekadar merujuk kepada perpindahan ke arah kebaikan semata-mata, malah ia turut berkait dengan soal kepekaan, daya kreativiti dan inovasi terhadap perkara-perkara yang hendak dilaksanakan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan