Kempen Sederhana, Peribadi Mukhriz Faktor Sokongan BN Meningkat

Diterbitkan: Selasa, 5 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Kemampuan Barisan Nasional (BN) menguasai 10 daripada 19 daerah mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Isnin selain mengurangkan majoriti kemenangan PAS, menunjukkan keberkesanan sentuhan peribadi parti itu semasa berkempen.

Keputusan PRK DUN Sungai Limau semalam menyaksikan BN menawan empat daerah mengundi baharu iaitu iaitu Sungai Limau dengan majoriti 105 undi, Kabu Sepuloh (55), Kampung Titi Batu (951) dan Padang Lumat (50), di samping mengekalkan enam yang dimenangi pada PRU13 dengan majoriti bertambah.

Daerah mengundi yang dikekalkan adalah Sungai Kering dengan majoriti 202 undi berbanding 178 pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Simpang Tiga (48 - 46), Selengkoh (195 - 119), Sungai Daun (293 - 137), Dulang Kechil (939 - 506) dan Dulang Besar (533 - 187).

Kejayaan mengurangkan majoriti PAS sebanyak 61 peratus atau 1,690 undi berbanding yang diperoleh parti itu pada PRU13 Mei lepas, selain undi kepada BN meningkat sebanyak 4.4 peratus atau 465 undi menunjukkan BN semakin mendapat tempat di hati penduduk DUN Sungai Limau.

Kredibiliti Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang baru enam bulan mengambil alih tampuk pentadbiran negeri Kedah juga dilihat membuka mata masyarakat setempat untuk lebih ramai "berhijrah" menyokong BN dan mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk melihat perubahan sokongan kepada BN.

PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau, yang dikuasai mereka sejak 1995 menerusi bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, menerusi Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Abd Samat yang meraih 12,069 undi mengatasi Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, (BN) yang memperoleh 10,985 undi, untuk menang dengan majoriti 1,084 undi.

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, kejayaan BN menguasai lebih banyak daerah mengundi berbanding PAS adalah kerana parti itu dapat memahami demografi penduduk Sungai Limau dengan baik dan menggunakan kelebihan itu untuk berkempen secara sederhana.

"Pendekatan kempen BN yang sihat dilihat sesuai dengan kehendak penduduk yang kuat agama, konservatif dan hidup sederhana. BN tewas (teruk) di Bukit Besar dan Bukit Choras yang memang (kawasan penyokong) tegar PAS, tapi hasil kempen dicerminkan dengan keputusan semalam dan majoriti PAS berkurangan," kata Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu ketika dihubungi pada Selasa.

Untuk rekod PAS berjaya menguasai dua daerah mengundi yang besar dengan pengundi yang ramai iaitu Bukit Choras (menang majoriti 554 undi berbanding 601 pada PRU13) dan Bukit Besar (majoriti 1,113 undi berbanding 1,199 pada PRU13 ), yang menjadi penentu kemenangan PAS pada Isnin.

Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula berkata bukan mudah untuk BN mengalih sepenuhnya sokongan masyarakat Sungai Limau yang telah lebih 18 tahun bersama PAS.

"Saya percaya BN kerja kuat sampai boleh mengurangkan majoriti PAS dan menambah sokongan. Mukhriz sebagai Menteri Besar muda dilihat mempunyai potensi yang meyakinkan untuk merampas Sungai Limau pada masa akan datang," katanya.

Ditanya soal sokongan pengundi muda yang banyak memihak kepada PAS, Mohd Azizuddin berkata pendedahan kepada dunia luar menyumbang kepada perkara itu.

"Penduduk tempatan, walaupun mereka (ramai) penyokong tegar PAS tetapi jelas dilihat sokongan kepada kedua-dua parti bertanding adalah seimbang," katanya. Ramlah pula berkata di sebalik amalan demokrasi, pengundi harus membuka minda dan tidak bersikap berat sebelah jika mahu melihat negara maju.

"Aspek pendidikan, ekonomi dan modal insan itu amat penting. Jadi, mengundilah untuk pembangunan negara dan bukannya kepentingan politik semata-mata," katanya.

Bagi memastikan kerusi DUN Sungai Limau menjadi milik BN pada pilihan raya umum akan datang, kedua-dua ahli akademik ini berpendapat parti itu harus lebih faham kehendak masyarakat setempat.

Mohd Azizuddin berkata penduduk yang majoritinya golongan petani dan nelayan sudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki mereka sekarang ini, namun mengharapkan beberapa nilai tambah untuk meningkatkan hasil keluaran dan taraf hidup masing-masing.

"Mungkin BN boleh melabur dari segi teknologi pertanian dan industri. Selain menjana lebih pendapatan, ia juga dapat menyediakan lebih banyak peluang kerja untuk mesyarakat setempat," tambahnya.

Ramlah pula percaya bayangan Azizan yang dibawa PAS ketika ini akan hilang pada PRU14 dan BN harus membawa pembangunan yang sekata di seluruh negara agar setiap lapisan masyarakat mendapat limpahan hasilnya.

Kemenangan PAS pada Isnin tidak boleh dinafikan banyak disumbangkan oleh faktor Azizan, di mana Mohd Azam dalam kempennya seringkali menggambarkan dirinya sebagai anak didik Azizan dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Menteri Besar Kedah itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan