Adun Kadamaian Di Sabah Umum Keluar PKR

Diterbitkan: Selasa, 5 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jeremmy Malajad.
Jeremmy Malajad.

KOTA BELUD: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Jeremmy Malajad pada Isnin mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Jeremmy yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah berkata perkara itu berkuat kuasa pada Isnin.

Beliau yang disertai oleh kira-kira 50 bekas pemimpin PKR Kadamaian berkata demikian dalam sidang media, di sini.

Menurutnya keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.

"Sebagai wakil rakyat yang baru dipilih oleh rakyat, saya sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang saya wakili untuk melihat perubahan dalam bidang pembangunan khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, klinik desa dan banyak lagi pembangunan luar bandar yang menjadi isu semasa yang sentiasa dilaung-laungkan masyarakat Kadamaian," katanya.

Jeremmy berkata, kejayaan BN menangani pelbagai isu yang dibangkitkan di negeri itu semasa pilihan raya umum ke-13 membuatkan beliau meneliti semula kedudukannya sebagai wakil rakyat PKR.

"Saya sudah berjanji untuk menjadi wakil rakyat terbaik dalam memberi sumbangan dan khidmat yang diperlukan oleh rakyat, dan saya percaya rakyat di Sabah semakin yakin dengan pendekatan dan kesungguhan kerajaan BN dalam menyelesaikan isu berbangkit," katanya.

Sambil menyatakan komitmennya tidak berubah dalam membantu rakyat di kawasannya, Jeremmy berkata beliau mahu terlibat secara langsung bagi merealisasikan pelbagai program transformasi yang dilaksana oleh kerajaan BN.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jeremmy memperoleh 5,877 undi berbanding penyandang Timbon@Herbert Langadan daripada BN yang menerima 4,988 undi dalam pertandingan empat penjuru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan