Dua Adun PKR Sabah Di Ambang Tinggalkan Parti - Berita Semasa | mStar

Dua Adun PKR Sabah Di Ambang Tinggalkan Parti

Diterbitkan: Isnin, 4 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketiadaan dua pemimpin PKR Sabah pada pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hujung minggu lalu sekali lagi bagai mengiyakan bahawa kedua-dua pemimpin itu tidak berpuas hati dengan parti itu.

Kedua-dua Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) ini - Jailani Hamdan (Matunggong) dan rakan sejawatannya, Jeremy Malajad @ Malazad (Kadamaian), dikatakan berada di ambang untuk meninggalkan PKR.

Ketika dihubungi, Jailani memberitahu 'The Star', "Saya belum mencapai tahap itu lagi. Walau bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan meninggalkan parti."

Jailani berkata, beliau dan Jeremy tidak menghadiri mesyuarat perhubungan PKR Sabah dengan Anwar pada Sabtu (1 Oktober) kerana mereka melihat tidak ada gunanya untuk mereka menghadirinya.

"Kami tidak boleh bekerja dengan ketua PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin lagi," katanya, Isnin.

Beliau berkata, Anwar dan Lajim telah mengabaikan panggilan berulang mereka untuk mendapatkan wakil yang lebih baik untuk masyarakat Kadazandusun - Rungus dalam barisan kepimpinan negeri.

Khususnya, Jailani berkata, mereka telah meminta jawatan timbalan pengerusi PKR diisi wakil Kadazandusun - Rungus seperti mana yang dijanjikan Lajim tetapi kemudiannya melantik Adun Api-Api, Christina Liew.

"Saya tidak menentang sesiapa tetapi terdapat tiga Adun dan ahli Parlimen daripada masyarakat Kadazandusun - Rungus dalam PKR. Apa yang kita minta adalah keadilan," katanya.

Beliau berkata sebagai ketua PKR Sabah, Lajim sengaja mengenepikan pemimpin Kadazandusun dan Rungus.

Beliau berkata, Anwar juga telah menamakan Lajim sebagai ketua pembangkang di Sabah tanpa berunding dengan Adun PKR dan DAP dengan sebaiknya.

Jailani berkata, ramai di kalangan Adun PKR dan DAP tidak memihak kepada Lajim yang menjadi ketua pembangkang.

"Malah di peringkat awal perbincangan nama Lajim tidak disuarakan tetapi tiba-tiba beliau dinamakan sebagai ketua pembangkang," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan