Kos Perkhidmatan Kesihatan Tidak Meningkat Dengan Pelaksanaan GST - Dr S.Subramaniam

Diterbitkan: Ahad, 3 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Kos perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak akan meningkat dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata ini kerana menerusi GST, kesihatan merupakan antara perkhidmatan dikecualikan cukai dan meminta mana-mana pihak tidak membuat spekulasi tentang peningkatan kos perkhidmatan kesihatan di negara ini yang boleh mengelirukan orang ramai.

Justeru, katanya, kementerian akan meneliti dan seterusnya mengeluarkan senarai terperinci jenis perkhidmatan kesihatan dikecualikan GST untuk maklumat orang ramai apabila sistem cukai itu dilaksanakan kelak.

"Segi konsep (GST) kecualikan perkhidmatan kesihatan tetapi dia punya perkara yang lain kita kena bincang lebih dalam apa perkara yang dikecualikan (GST) kerana perkhidmatan kesihatan itu begitu luas," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Deepavali dianjurkannya di Ujong Pasir di sini malam Sabtu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Anggota Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menghadiri rumah terbuka yang dikunjungi kira-kira 2,000 orang dari pelbagai kaum.

Pada 25 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 mengumumkan pelaksanaan GST dengan kadar enam peratus menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata agensi yang terlibat dalam keselamatan makanan di negara ini akan diperkasa bagi melindungi orang ramai daripada pelbagai bahaya pencemaran makanan.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diperkasa dalam agensi terbabit ialah prosedur penguatkuasaan dalam memastikan makanan yang dibawa masuk dari luar negara selamat dan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung keselamatan makanan.

"Pada masa sekarang kita menghadapi cabaran baharu dalam soal keselamatan makanan kerana pelbagai jenis makanan daripada pelbagai negara dibawa masuk ke Malaysia dan rakyat makan benda yang di luar daripada apa yang biasa kita makan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan