Keputusan PRK DUN Sungai Limau Dijangka Umum 9 Malam Isnin - SPR - Berita Semasa | mStar

Keputusan PRK DUN Sungai Limau Dijangka Umum 9 Malam Isnin - SPR

Diterbitkan: Ahad, 3 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dijangka dapat diumumkan kira-kira pukul 9 malam, Isnin.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau juga berpuas hati dengan persediaan SPR bagi pengundian PRK pada Isnin.

Berdasarkan tinjauan petang Ahad, kesemua pusat mengundi, saluran mengundi telah pun lengkap disediakan, selain pegawai yang akan bertugas esok telah dilatih dengan baik, katanya ketika ditemubual secara langsung oleh Berita Perdana RTM1 di Studio Mini RTM, di sini malam Ahad.

"Kita cuma berharap mereka masing-masing akan dapat bertugas pada masa ditetapkan, kerana selewat-lewatnya pusat mengundi mesti dibuka pukul 8 pagi," katanya.

Beliau turut menasihatkan pemimpin dan penyokong parti yang bertanding supaya menghormati peratuan berkempen yang berakhir tepat pukul 12 tengah malam Ahad.

"Dan kepada pengundi, kita harap mereka bersedia dengan maklumat seperti saluran mengundi, sekolah pusat mengundi dan nombor siri undian mereka, selain tidak lupa membawa kad pengenalan, esok," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama mengenai bekalan elektrik sepanjang pengundian dan pengiraan undi pada Isnin, Abdul Aziz berkata, Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah diberi tanggungjawab bagi memastikan tiada gangguan sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, TNB membuat persediaan awal dengan menyediakan 18 set generator untuk ditempatkan di pusat penjumlahan undi serta di pusat pengundian DUN Sungai Limau.

Beliau berkata, SPR sememangnya sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk gangguan bekalan elektrik. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan