Kempen PRK DUN Sungai Limau Paling Aman - KPN

Diterbitkan: Ahad, 3 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang akan berakhir lewat malam Ahad, sebagai yang paling aman ketika ini.

Beliau berkata, hanya enam laporan polis dibuat dan tiada kesalahan serius yang dilaporkan sepanjang proses kempen dijalankan.

"Melalui tinjauan yang dilakukan, keadaan terkawal dan kami akan pastikan keadaan ini kekal berterusan sehingga berakhirnya PRK ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini, Ahad.

Beliau berkata, sehubungan itu polis mengingatkan pengundi berdaftar mematuhi segala arahan yang dikeluarkan polis yang bertugas di 17 pusat pengundian di DUN itu pada Isnin.

"Saya minta penyokong dari kedua-dua parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan dan memarkir kenderaan sesuka hati sehingga menimbulkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Berhubung laporan polis yang dibuat Barisan Nasional (BN) semalam tentang patung-patung provokasi yang diletakkan berhampiran beberapa pusat gerak kerja parti itu, Khalid berkata, polis masih menyiasat kejadian tidak bermoral itu.

"Kami sudah terima maklumat tetapi siasatan lanjut masih dijalankan sehingga kini. Bagi saya ini perbuatan tidak elok," katanya.

Khalid turut mengingatkan pengundi DUN itu supaya keluar ke pusat mengundi awal pagi bagi mengelakkan kesesakan selain mengingatkan pengundi agar sentiasa patuh kepada arahan polis bagi melancarkan proses pengundian.

"Kami melantik tiga pasukan pemantau terdiri daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil parti untuk mengawal sebarang kejadian tidak diingini di setiap pusat pengundian," katanya.

Ditanya kemungkinan berlaku penutupan jalan di sekitar pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Khalid berkata, tiada arahan penutupan jalan dikeluarkan.

Pilihan raya kecil DUN itu menyaksikan pertembungan antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abdul Samat.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong berikutan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak 1995, pada 26 September lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan