Provokasi Tidak Akan Berjaya Pengaruhi Pengundi Sg Limau - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Sabtu, 2 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perang saraf dan provokasi yang dilakukan oleh pihak tertentu pada saat-saat akhir kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak akan berjaya mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

"Sungai Limau adalah satu kawasan yang tenteram. Saya lihat pasukan polis yang ada di sini lebih daripada mencukupi dan kita tempatkan mereka semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat.

"Kita harap di saat akhir ini kedua-dua pihak tidak melakukan provokasi dalam berbagai-bagai bentuk," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Pusat Khidmat Komuniti Rela Dulang Besar, dekat sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Datuk Mustafa Ibrahim, anggota Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas mengenai patung-patung provokasi yang digantung berhampiran beberapa pusat gerak kerja BN.

Difahamkan patung dari paras pinggang ke bawah dengan sebelah kaki dipotong serta tertera perkataan 'kaki ustaz', seolah-olah menggambarkan keadaan bekas wakil rakyat Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang sebelum ini menjalani pembedahan memotong kaki akibat penyakit kencing manis.

Ahmad Zahid berkata, polis sedang menyiasat mengenai perkara itu dan tindakan akan dikenakan terhadap pihak yang melakukan perbuatan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, tindakan pembangkang memperbesarkan isu remeh-temeh seharusnya tidak dijadikan sebagai kaedah untuk meraih undi penduduk Sungai Limau.

"Saya fikir jangan gunakan pendekatan yang sebegitu walaupun ia dinamakan taktik politik...memberikan sesuatu yang baik tidak mengapa, tetapi memburukkan dengan cara penghinaan saya rasa tidak baik dan seharusnya dielakkan," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, Ahmad Zahid berkata: "Pada hemat saya kempen BN melebihi jumlah kempen PAS. Semangat hijrah itu saya nampak dan perubahan itu saya yakin adalah kerana perubahan gelombang yang berlaku di negeri Kedah".

Pada pilihan raya kecil DUN Sungai Limau Isnin ini, Ahmad Sohaimi ditentang calon PAS Mohd Azam Abd Samat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan