Malaysia Sedia Kerjasama Dengan Britain Galakkan Kewangan Islam - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 1 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Britain untuk mempromosikan perbankan Islam dan menjadikan London sebagai pusat kewangan dan pelaburan Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu wawancara dengan Christiane Amanpour dari CNN, perdana menteri itu berkata Kota London adalah sesuai berikutan perkaitannya dengan dunia Islam, terutamanya di Eropah.

Beliau berkata London juga mempunyai kepakaran dalam perbankan terutamanya dalam perbankan konvensional.

Perdana Menteri berada di London untuk menghadiri edisi ke-9 Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), yang pertama di adakan di luar negara Islam.

Acara tahunan tiga hari bermula 29 Oktober itu dihadiri 2,800 peserta dari 128 negara, termasuk 10 ketua negara dan kerajaan.

Menjelaskan tentang kewangan Islam kepada Amanpour, Najib berkata: "Kewangan Islam adalah berdasarkan perkongsian risiko dan lebih berasaskan aset. Oleh itu, ia adalah lebih adil dan saksama."

"Kewangan Islam menawarkan model yang lebih konkrit dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, dan kewangan konvensional, berdasarkan pertimbangan spekulatif," kata beliau.

Bercakap tentang pembatalan lawatan Presiden AS Barack Obama ke Malaysia awal bulan lepas, Najib berkata Obama telah terlepas peluang untuk menonjolkan kepimpinannya, terutamanya mengenai hala tuju dasar AS untuk Asia.

"Saya tahu beliau menyesalinya. Saya tahu beliau melihat lawatannya sedemikian, dan beliau berkata beliau akan tetap melawat Malaysia tahun depan. Jadi, kami mengalu-alukan kedatangannya," kata Najib. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan