PAS, PKR Tidak Sepakat Isu GST

Diterbitkan: Khamis, 31 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Pembangkang gagal mencapai persefahaman berhubung perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) apabila PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menyataan pendirian berbeza.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata pakatan pembangkang kekal dengan pendirian mereka sebelum ini iaitu menolak perlaksanaan GST.

Kenyataan Mahfuz itu bertentangan dengan pendirian terbaru yang dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali apabila mengakui GST merupakan sistem cukai yang efisyen.

"Saya tak ada waktu mereka cakap begitu. Tapi pendirian dalam Pakatan Rakyat kita membantah.

"Kita bantah kerana kerana kerajaan tak buat sesuatu yang lain terlebih dahulu untuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan," katanya pada sidang media harian jentera pilihan raya PAS di markas induk PRK Sungai Limau di sini, Khamis.

Mohamed Azmin ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada Rabu menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak perlaksanaan GST yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Menurut Mohamed Azmin, pendirian pembangkang adalah GST merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara.

Sementara itu Anwar ketika berucap pada taklimat GST dan Belanjawan 2014 di Bilik Taklimat Parlimen turut GST yang akan dilaksanakan mulai April 2015 merupakan sistem cukai yang efisyen.

Bagaimanapun beliau menggesa kerajaan mengambil kira beberapa faktor sebelum melaksanakannya.

Menerusi perbentangan Bajet 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan melaksanakan GST bermula 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perlhidmatan.

Menurut Najib GST bukan cukai tambahan baru, sebaliknya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama yang perlu dilaksanakan bagi manfaat seluruh rakyat.

GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas seperti beras, gula garam, tepung, minyak masak serta bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

GST juga katanya tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan disediakan kerajaan seperti pengeluaran passport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah serta perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya di samping perkhidmatan pendidikan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan