Pembangkang Tidak Tolak GST, Akui Baik Untuk Ekonomi - Azmin

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azmin Ali
Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Rabu menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Berbeza nada dengan rakan seperjuangannya yang lain termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata pendirian pembangkang adalah GST merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara.

Bagaimanapun menurut anggota Parlimen Gombak itu, Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan cukai baharu itu kerana lebih 40 peratus rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dengan 80 peratus daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.

"Sudah pasti, jika dilaksanakan GST akan menekan golongan dalam kelompok berpendapatan rendah dan rakyat miskin," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata dalam pelaksanaan sistem percukaian itu, perhatian tidak sewajarnya diberi kepada golongan miskin tegar samata-mata, tetapi juga kepada golongan yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi termasuk pekerja muda, pasangan yang baharu berkahwin dan juga mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.

Malah, katanya, FOMCA melaporkan sejumlah 47 peratus pekerja muda di negara ini dibebani jumlah hutang yang begitu serius, manakala Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30 peratus daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang sekaligus mengesahkan beban dan kesempitan hidup generasi muda dan rakyat secara keseluruhannya.

Azmin turut menyarankan satu reformasi sistem percukaian yang bersifat meluas dan komprehensif digubal segera bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyumbang tujuh peratus kepada pendapatan negara.

Azmin dalam hujahnya berkata dalam pelaksanaan GST, kerajaan perlu memperbetul falsafah dan matlamatnya agar menjurus kepada menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros berbelanja.

"Pendek kata, GST bertujuan untuk mengagihkan semula atau mempelbagai, dan bukan meningkatkan bebanan cukai...bukannya berobjektifkan memperoleh pendapatan RM27 bilion," katanya.

Katanya kerajaan perlu belajar daripada negara maju di mana negara terbabit hanya mula melaksanakan GST selepas infrastruktur cukai sudah kukuh di samping kadar cukai pendapatan juga turut dikurangkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan