Malaysia Akan Adakan Eksesais Pertama Dengan China Mulai Tahun Depan

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hishammuddin memeriksa perbarisan kawalan kehormat bersama Chang di Kementerian Pertahanan di Beijing.
Hishammuddin memeriksa perbarisan kawalan kehormat bersama Chang di Kementerian Pertahanan di Beijing.

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan mengadakan eksesais bersama buat pertama kalinya pada tahun depan sejak Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung kerjasama pertahanan ditandatangani pada 2005.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang dalam lawatan kerja sulungnya ke Beijing selepas memegang jawatan itu Mei lalu, berkata Malaysia bercadang mengadakan eksesais antara perkhidmatan dengan China melibatkan disiplin darat, laut dan udara.

Beliau berkata eksesais itu adalah antara persetujuan dicapai semasa pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan China, Jeneral Chang Wanquan pada Selasa, demi meningkatkan kerjasama strategik yang lebih komprehensif.

"Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk merapatkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan terutamanya melalui eksesais bersama, pertukaran pegawai-pegawai tentera laut dan ketenteraan (lain), penubuhan kerjasama dalam bidang industri pertahanan, usaha-usaha memerangi keganasan, dan jenayah transnasional," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau dikirim dari Beijing kepada Bernama di sini.

Lawatan Hishammuddin itu untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara kedua-dua negara selain menyusuli lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 3 hingga 5 Oktober lalu.

Malaysia mempunyai hubungan rasmi pertahanan dengan China sejak 2005 dan hubungan itu adalah baik tetapi terhad kepada pertukaran lawatan dan pendidikan.

Lawatan itu juga menjadi mercu tanda kepada ulang tahun ke-40 Persahabatan Malaysia-China yang akan disambut pada tahun depan, kata Hishammuddin.

Beliau turut mengundang Jeneral Chang untuk melawat Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah bagi sama-sama melancarkan penubuhan 'hubungan terus' antara Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dengan Pemerintah Armada Laut Selatan China.

Hishammuddin turut menemui beberapa pemimpin tertinggi lain China termasuk Timbalan Pengerusi 1 Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Jeneral Fan Changlong.

Hishammuddin turut dibawa melawat ibu pejabat Pemerintah Armada Laut Selatan China yang terletak di Zhanjiang dan melawat Wilayah Ketenteraan Guangzhou, yang merupakan salah satu daripada tujuh wilayah pentadbiran ketenteraan di China.

"Dengan lawatan ini, hubungan pertahanan Malaysia-China diharap dapat diperkembang ke bidang-bidang lain dan mengukuhkan interaksi antara kedua-dua negara," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan