Ribut St Jude: 1,684 Pelajar Tajaan Mara Di UK Selamat - Shafie Apdal

Diterbitkan: Selasa, 29 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesemua 1,684 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di United Kingdom (UK) berada dalam keadaan selamat berikutan ribut St Jude yang melanda beberapa buah negara Eropah baru-baru ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata institusi pengajian yang melibatkan pelajar tajaan Mara berada di luar kawasan bencana.

"Tiada berita buruk melibatkan mereka setakat ini.

"Ribut berkenaan hanya melanda di sekitar Selatan London dan semakin reda sejak semalam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata kementerian dan Mara sentiasa mengawasi keadaan dan berusaha memastikan kesemua pelajar berada dalam keadaan selamat.

Selain UK, terdapat 127 pelajar tajaan Mara di Jerman dan 151 orang di Perancis.

Ribut St Jude, yang dikatakan paling buruk dalam tempoh sedekad ini, dilaporkan bertiup pada kelajuan sehingga 160km sejam.

Ribut itu melanda England dan Wales pada Isnin.

Menurut laporan media ribut itu turut melanda Jerman, Belanda dan Perancis.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan