BN Tembusi 'Kawasan Hitam' - Khairy

Diterbitkan: Selasa, 29 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Berbaki lima hari tempoh kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Barisan Nasional (BN) berjaya memasuki kubu kuat PAS yang diklasifikasikan sebagai 'kawasan hitam'.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan itu merupakan isyarat positif kepada BN dalam usaha meraih undi di kawasan penyokong tegar PAS.

"Saya diberitahu kalau dulu nak letak bendera BN pun susah. Sekarang bendera boleh dikibarkan, poster boleh digantung malah ada juga orang kuat PAS sudah bersama kita sama ada menjadi jentera atau menyatakan sokongan kepada kita.

"Ini petanda baik, maksudnya mereka sudah bersedia untuk buat perubahan dengan menyokong BN," katanya selepas program 'walkabout' di peti undi Matang Buloh di sini, Selasa.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, pihaknya mengklasifikasikan beberapa peti undi seperti Matang Buloh, Selengkoh dan Bukit Besar sebagai 'kawasan hitam' berdasarkan rekod kekalahan BN dalam beberapa pilihan raya yang lalu.

"Mana-mana yang diklasifikasikan sebagai kawasan hitam, kita boleh masuk. Menang tak menang sekurang-kurangnya kita nampak sudah ada peningkatan untuk kurangkan majoriti PAS di kubu mereka," katanya.

Tambah Menteri Belia dan Sukan itu lagi, slogan 'berani hijrah' yang digunakan BN pada pilihan raya kecil ini jelas bertepatan dengan usaha memenangi hati pengundi DUN Sungai Limau.

"Slogan yang dipilih Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir adalah tepat sebab kita nak bagi keyakinan kepada rakyat yang selama ini memilih PAS supaya mereka berhijrah menyokong BN.

"Mereka perlu faham bahawa kali ini BN adalah kerajaan. Mereka tak akan rugi kalau pilih BN," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan