Pelepasan Waktu Bekerja Pengundi DUN Sungai Limau - MB

Diterbitkan: Isnin, 28 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mukhriz Mahathir.
Mukhriz Mahathir.

YAN: Kakitangan awam Kerajaan Negeri Kedah yang menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau diberi pelepasan waktu berkerja untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian 4 November depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pemberian pelepasan waktu bekerja merupakan langkah terbaik tanpa perlu mengisytiharkan cuti umum kepada seluruh rakyat negeri ini.

Keputusan berkenaan sekaligus menolak cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar supaya kerajaan negeri mengisytiharkan cuti umum bagi memudahkan pengundi yang terlibat dalam PRK Sungai Limau melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya juga ingin cadangkan kepada pihak swasta supaya mengambil langkah yang sama serta tidak mengenakan tindakan terhadap pekerja masing-masing.

"Cadangan Mahfuz langsung tidak boleh diterima kerana pengundi DUN Sungai Limau hanya melibatkan kira-kira 27,000 pengundi tapi beliau minta cuti kepada kira-kira dua juta rakyat Kedah yang lain," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera Puteri Umno di Sungai Limau Dalam di sini, Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November (Isnin) depan yang jatuh pada hari bekerja sebagai hari pengundian bagi PRK Sungai Limau susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat menentang wakil Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan