Gambar 'Super Impose' Bukti Pembangkang Terdesak

Diterbitkan: Isnin, 28 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang menggunakan gambar palsu membuktikan PAS terdesak untuk meraih simpati penduduk pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan itu juga menunjukkan PAS kini bimbang calon mereka Mohd Azam Abd Samat tidak dapat menyaingi kewibawaan dan kredibiliti calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang mempunyai pelbagai kelebihan, termasuk pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pembohongan secara terang-terangan itu tidak selari dengan kenyataan PAS yang sebelum ini lantang mendakwa memperjuangkan agama.

"Mereka kena ingat bahawa menggunakan gambar palsu boleh menjadi fitnah, dan penduduk di Sungai Limau perlu berfikir adakah mereka mahu menjadi sebahagian daripada fitnah itu?" katanya kepada Bernama di lobi Parlimen pada Isnin.

Shahidan berkata demikian semasa diminta mengulas gambar palsu menggunakan teknik 'super impose' menunjukkan Mohd Azam bersama bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang disiar dalam sebuah risalah kempen PRK DUN Sungai Limau.

Selain itu, laporan akhbar pembangkang juga mendakwa ayah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir 'mendoakan kemenangan Mohd Azam' semasa menerima kunjungan calon berkenaan bersama Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar.

Shahidan juga menyifatkan taktik kotor seperti itu 'membawa rakyat ke belakang' kerana pendekatan lapuk sedemikian tidak lagi sesuai digunakan pada zaman minda rakyat telah terbuka dalam menerima sesuatu maklumat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari pula berkata, BN tidak perlu menggunakan taktik seperti itu untuk meraih undi kerana keperibadian Ahmad Sohaimi sudah 'cukup kuat' bagi mendapat sokongan penduduk.

Anggota Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani turut menyelar tindakan tidak beretika itu, dan menyifatkan kempen berkenaan 'memakan diri sendiri' kerana memberi pandangan negatif terhadap pemimpin jika terpilih menerusi cara sedemikian.

Bagi anggota Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, pembangkang sudah ketandusan idea sehingga terpaksa mengguna pendekatan lapuk hanya kerana takut dengan kemantapan jentera BN sepanjang kempen.

"Saya juga yakin semakin dekat dengan hari membuang undi, semakin banyak fitnah yang akan keluar tentang keburukan parti dan calon bertanding untuk meraih undi," katanya.

Anggota Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap, yang baru pulang daripada meninjau Pusat Daerah Mengundi Titi Batu, Sungai Limau semalam memaklumkan bahawa cubaan menggunakan taktik itu hanya dilakukan mereka yang tidak yakin.

"Kalau mahu 'super impose', kita juga boleh lakukan. Ambil sahaja gambar bersama perdana menteri. Tapi BN tidak akan menggunakan kaedah ini kerana betapa malunya jika perkara itu terbongkar seperti yang berlaku sekarang kepada pembangkang," katanya.

Anggota Parlimen Kangar, Shaharuddin Ismail pula menasihati penduduk Sungai Limau agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang bagi membolehkan mereka menikmati pembangunan yang sedang dijalankan di bawah pentadbiran BN menerusi Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

"Saya percaya usaha kerajaan pusat dan negeri dalam meningkatkan pembangunan akan dilihat sebagai kempen paling berkesan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan