Lembah Bertam: Operasi Mencari Dan Menyelamat Mangsa Masuk Hari Kelima - Berita Semasa | mStar

Lembah Bertam: Operasi Mencari Dan Menyelamat Mangsa Masuk Hari Kelima

Diterbitkan: Ahad, 27 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Seorang pekerja ladang membaik pulih rumah kebun sayur yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda awal pagi Rabu lalu di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Ahad. -fotoBERNAMA
Seorang pekerja ladang membaik pulih rumah kebun sayur yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda awal pagi Rabu lalu di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Ahad. -fotoBERNAMA

CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam di sini diteruskan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata operasi yang memasuki hari kelima diteruskan dengan kekuatan 69 pegawai dan anggota pasukan keselamatan dibahagikan kepada tiga pasukan.

Beliau berkata operasi yang bermula 8 pagi itu dipecahkan bagi melakukan proses mencari di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

Bagaimanapun katanya operasi hari ini tidak menggunakan khidmat anjing pengesan K-9 dan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat sebaliknya pencarian dilakukan secara manual dan menggunakan jentera berat.

"Operasi yang dilakukan secara besar-besaran ini akan ditamatkan sepenuhnya pada hari ini," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Bagaimanapun operasi mencari dalam skala kecil seperti rondaan harian akan diteruskan seperti biasa esok, katanya.

Dalam kejadian 1 pagi Rabu lepas, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet di sini apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar.

Insiden itu mengorbankan tiga nyawa selain seorang mangsa hilang. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 Jumaat lalu, mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk melebar dan mendalamkan Sungai Bertam. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan