Johor Jamin Bina Rumah Mampu Milik Di Setiap Daerah

Diterbitkan: Sabtu, 26 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Johor memberi jaminan bahawa projek perumahan mampu milik tidak hanya akan tertumpu di kawasan Iskandar Malaysia.

Sebaliknya Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek perumahan mampu milik akan dilaksanakan di semua daerah di Johor.

Ini menurut beliau adalah bagi memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri sekaligus mengurangkan jurang antara permintaan dan penawaran bagi rumah.

"Kerajaan komited untuk menyediakan projek perumahan mampu milik untuk rakyat dan ia tidak akan tertumpu di kawasan Iskandar Malaysia sahaja tetapi di setiap daerah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perumahan mampu milik Magma Garden, Bandar Putera Indah di sini Sabtu yang dimajukan LBS Group Bina Berhad.

Mohamed Khaled yang mengulas mengenai pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyambut baik usaha kerajaan pusat untuk membina 223,000 unit rumah mulai tahun depan.

Johor katanya, akan membina 28,000 rumah mampu milik tahun depan sebagai menyokong usaha tersebut yang 11,000 unit akan dibina melalui agensi kerajaan negeri dan selebihnya pihak swasta.

Projek Magma Garden melibatkan 1,658 unit rumah mampu milik satu tingkat yang harganya bermula daripada RM150,000.

Ia memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air seluas kira-kira 95 meter persegi dan terletak 25 minit perjalanan dari bandar Batu Pahat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan